Kencing manis masalah berat dan serius

Masagos: Sebab itu diketengahkan PM dalam Rapat Hari Kebangsaan; masyarakat hadapi masalah jika tidak ditangani

PERDANA Menteri Lee Hsien Loong membincangkan tentang penyakit kencing manis dengan panjang lebar pada Rapat Hari Kebangsaan jika ia masalah serius, kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Beliau berkata Rapat Hari Kebangsaan sebuah platfom serius bagi membincangkan dan mengupas isu penting dan serius yang menjejas warga dan negara Singapura.

Oleh itu, Encik Masagos, yang juga penasihat Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (Mesra), menegaskan peri perlunya pemimpin akar umbi dan badan Melayu/Islam menerajui inisiatif mengadakan pelbagai program padat dan rancangan susulan bagi memerangai penyakit itu dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam terutamanya.

Menekankan demikian dalam satu dialog Rapat Hari Kebangsaan bersama sekitar 180 peserta daripada pelbagai pertubuhan Melayu/Islam, kumpulan sukarelawan akar umbi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC), Mesra, dan Pertubuhan Akar Umbi (GRO) di Grassroots' Club malam kelmarin, Encik Masagos berkata:

"Ada yang bertanya mengapa PM pilih isu remeh dan bukan perkara berat, seperti isu ekonomi dan politik di Malaysia atau China, umpamanya.

"Sebenarnya, isu dan masalah kencing manis sudah menjadi isu serius dan perlu diberi perhatian sepenuhnya.

"PM sangat susah hati mengenai masalah dan gejala kencing manis di Singapura. Maklumat yang dikongsi Kementerian Kesihatan dalam Kabinet sangat mencemaskan.

"Dalam kalangan masyarakat Melayu pula, jika kita tidak berbuat sesuatu, apabila usia menjangkau 60-an tahun ke atas, separuh daripada kita akan menghidapi masalah kencing manis.

"Angkanya akan membengkak dan ini bermakna kita akan menghadapi masalah besar," ujar beliau.

Semasa berucap di Rapat Hari Kebangsaan, Encik Lee berkata lebih 400,000 warga Singapura menghidapi kencing manis dan satu dalam tiga warga negara ini berdepan dengan risiko mendapat penyakit itu dalam hidupnya.

Encik Lee berkata di kalangan Melayu, lima daripada 10 orang berusia 60 tahun ke atas menghidap penyakit itu, dan bagi kaum India, enam daripada 10 orang.

Beliau berkata ia satu "krisis kesihatan" bagi kedua-dua kaum itu.

Dalam kalangan kaum Cina pula, 2.5 daripada 10 orang berusia 60 tahun ke atas menghidap kencing manis.

Encik Masagos berkata pemimpin akar umbi dan badan Melayu/Islam harus mendapatkan maklumat betul mengenai penyakit kencing manis dan cara mencegahnya, serta membetulkan salah faham dan tanggapan mengenai rawatan dan perubatan bagi penyakit itu.

Mereka kemudian harus menyampaikan maklumat itu secara berkesan pada keluarga, jiran dan masyarakat umum menerusi program praktikal dan kegiatan susulan.

Turut diadakan semasa dialog tersebut ialah forum oleh tiga panelis, iaitu doktor keluarga Dr Elly Sabrina, pengendali pendidikan Islam Dyn Norahim, dan pelatih kecergasan Hisham Musa.

Mereka berkongsi pelbagai panduan praktikal bagi membantu masyarakat Melayu/Islam memerangi kencing manis.

Seorang pemimpin akar umbi dari MAEC Bukit Batok East dan Marsiling, Encik Md Zin Hundair, berkata beberapa kegiatan kesihatan telah diadakan sejak dua tiga tahun lalu, tetapi kebanyakannya "mengambil sikap sambil lewa".

"Sekarang masalah sudah meruncing. Oleh itu, kami giat berusaha mengadakan program lebih padat dan bersiri untuk membolehkan masyarakat kita memahami dan mendalami lagi mengenai penyakit kencing manis ini, di samping beberapa rancangan susulan praktikal," kata beliau.


"Sebenarnya, isu dan masalah kencing manis sudah menjadi isu serius dan perlu diberi perhatian sepenuhnya. PM sangat susah hati mengenai masalah dan gejala kencing manis di Singapura. Maklumat yang dikongsi Kementerian Kesihatan dalam Kabinet sangat mencemaskan. Dalam kalangan masyarakat Melayu pula, jika kita tidak berbuat sesuatu, apabila usia menjangkau 60-an tahun ke atas, separuh daripada kita akan menghidapi masalah kencing manis. Angkanya akan membengkak dan ini bermakna kita akan menghadapi masalah besar.''
- Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.