Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SIASATAN MUIS TERHADAP PROSES BADAN PENSIJILAN HALAL ASING (FHCB)

Kenyataan Muis

Dec 16, 2020 | 05:30 AM



PANEL dalaman Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan panel semakan bebas (IRP) telah selesai membuat siasatan berhubung dakwaan terhadap proses Badan Pensijilan Halal Asing (FHCB). Dalam kenyataan Muis semalam, panel itu bersependapat bahawa proses Muis adalah baik dan proses mengenal-pasti dan menarik balik FHCB dijalankan pegawai Muis dengan cara yang adil dan saksama. Dapatan IRP kemudian diberikan kepada Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan (MCCY), yang juga telah selesai semakan mereka. BERITA HARIAN (BH) mendapat pandangan wakil industri dan peguam mengenai dapatan siasatan itu.

 



GAMBARAN KESELURUHAN



Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah selesai menjalankan siasatan berhubung tuduhan yang dibuat terhadap proses pengiktirafan bagi Badan Pensijilan Halal Asing (FHCB). Siasatan mendapati bahawa proses Muis berfungsi baik dan pengiktirafan dan nyahsenarai (delisting) FHCB telah dilakukan oleh pegawainya secara adil dan tidak berat sebelah.



Oleh itu, sebarang tuduhan mendakwa salahguna kuasa oleh pegawainya tidak berasas.



Muis komited mengekalkan tahap halal tertinggi dalam memenuhi keperluan diet keagamaan pengguna Muslim Singapura dan akan melakukan semakan menyeluruh terhadap kerangka pengiktirafan FHCBnya, dengan kerangka semakan itu akan dilaksanakan pada akhir 2021.



Demi kebertanggungjawapan dan ketelusan, Muis juga telah merujuk perkara itu kepada Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dan akan membantu sepenuhnya siasatan mengenai perkara ini.



Oleh kerana siasatan menunjukkan kemungkinan maklumat rasmi telah didedahkan secara umum, Muis telah juga membuat laporan polis.



LATAR BELAKANG



Satu siri tuduhan serius telah dibuat terhadap Muis antara April dan Mei 2020, berhubung pengiktirafan FHCB.



(FHCB adalah entiti berpangkalan di luar negara yang mengesahkan jika produk makanan di negara masing-masing memenuhi syarat diet Muslim. Oleh kerana pelbagai negara mempunyai konteks, piawaian dan keperluan berbeza berbanding Singapura, Muis hanya mengiktiraf FHCB yang memenuhi piawaian yang ditetapkannya. Ini memastikan bahawa syarikat makanan tempatan dan syarikat pengeluaran mempunyai akses kepada bekalan bahan halal yang boleh dipercayai untuk penyediaan makanan mereka.)



Ekoran tuduhan ini, Muis membentuk pasukan siasatan dalaman (IVT) yang diketuai Dr Albakri Ahmad, Timbalan Ketua Eksekutif Muis, untuk mengumpulkan bukti dan menilai kesahihan tuduhan tersebut.



Pada 29 Mei 2020, Muis mengeluarkan kenyataan mengundang orang ramai mengemukakan maklumat dan bukti untuk membantu siasatan. Sebanyak 49 penyerahan maklumat diterima daripada FHCB dan orang awam. IVT telah meneliti kesemuanya penyerahan maklumat dari orang ramai, merangkumi dokumen dalam pelbagai bentuk (artikel, posting media sosial, e-mel, surat), di samping dokumen dalaman daripada Unit Strategi Pensijilan Halal Muis (HCSU).



Dapatan dan rekomendasi IVT disemak lebih lanjut oleh panel semakan bebas (IRP) yang dipengerusikan Encik Abdul Hamid Abdullah, Anggota Majlis Muis dan pengarah audit yang telah bersara daripada Pejabat Ketua Audit Negara. IRP juga interviu 16 individu yang berkaitan dengan tuduhan tersebut untuk mendapatkan bukti dan keterangan lisan bagi siasatan itu.



Dapatan IRP kemudian diserahkan kepada Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), yang telah pun selesai menyemak dapatan siasatan itu.



DAPATAN SIASATAN



Siasatan mendapati bahawa Muis telah menyiapkan proses yang baik bagi pengiktirafan FHCB. Prosedur pengiktirafan FHCB memerlukan penyerahan borang permohonan yang lengkap dan dokumen sokongan yang relevan.



Soal selidik agama dan teknikal juga harus dilengkapkan bagi setiap rumah penyembelihan dan/atau kilang memproses bahan daging yang disahkan. Kriteria pengiktirafan juga dinyatakan dengan jelas dalam borang permohonan, dan antara kriteria ialah, Muis menghendaki FHCB mempunyai lembaga penasihat Syariah dan jawatankuasa pengurusan halal yang cekap.



Perkara utama tuduhan tersebut adalah sama ada pengiktirafan dan nyahsenarai FHCB oleh Muis dilakukan secara adil dan tidak berat sebelah. Siasatan menunjukkan bahawa semua pengiktirafan, pembaharuan atau nyahsenarai FHCB mengikuti protokol dalaman yang diluluskan, dan pegawai Muis yang dituduh tidak meluluskan atau menyahsenarai sebarang FHCB berdasarkan budi bicaranya sendiri. Terdapat sebab munasabah dan objektif bagi nyahsenarai FHCB dan kelulusan secara betul diperolehi. Oleh itu, sebarang tuduhan penyalahgunaan kuasa oleh pegawai Muis yang menangani kes FHCB adalah tidak berasas.



Dari segi dasar di bawah proses pengiktirafan FHCB Muis, sebab penolakan atau nyahsenarai FHCB tidak didedahkan. Namun, memandangkan minat besar masyarakat dalam kes ini, ringkasan beberapa sebab penolakan/nyahsenarai FHCB adalah seperti di bawah:



(a) permohonan yang tidak lengkap dan dokumen sokongan yang tidak mencukupi walaupun peringatan telah diberikan;



(b) proses yang tidak patuh Syariah, contohnya menggunakan teknik kejutan selepas penyembelihan;



(c) pengeluaran sijil halal kosong; dan



(d) pengeluaran produk berkaitan daging babi, misalnya tempat yang disahkan memproses daging babi atau menghasilkan produk daging babi.



TINDAKAN SUSULAN



Melangkah ke depan, Muis komited untuk mengekalkan tahap piawaian halal tertinggi dalam memenuhi keperluan pemakanan keagamaan pengguna Muslim Singapura. Sehubungan dengan itu, saranan berikut yang timbul hasil semakan itu akan diterima pakai:



a. Pengiktirafan halal Muis telah menjadi tanda simbol yang amat diinginkan dan dipercayai dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi kami maklum bahawa landskap perniagaan halal telah berkembang dengan ketara sejak pengenalan skim pengiktirafan FHCB. Dengan ini, Muis akan melakukan semakan menyeluruh untuk memperkukuh rangka pengiktirafan FHCB. Muis meletakkan sasaran untuk melaksanakan perubahan terbit daripada tinjauan ini pada akhir 2021.



b. Walaupun terdapat tuduhan rasuah, siasatan Muis tidak menemui bukti bahawa ini berlaku. Namun, demi kepentingan ketelusan dan pertanggungjawapan, Muis telah merujukkan perkara itu kepada Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) untuk siasatan lanjut dan akan memberi bantuan dan kerjasama yang diperlukan.



c. Siasatan tersebut juga telah menimbulkan kemungkinan berlaku pendedahan maklumat rahsia tanpa izin kepada pihak ketiga yang telah disiarkan di media. Sementara Muis memandang serius masalah salah laku pegawai awam yang mendedahkan maklumat rahsia kepada sumber yang tidak dibenarkan, Muis telah membuat laporan polis untuk menyiasat kemungkinan pelanggaran Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan akan mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana pegawai yang didapati melanggarnya.



Muis telah menulis surat kepada FHCB yang telah mengemukakan penyerahan maklumat semasa proses siasatan untuk memberi perincian sebab penyahsenaraian mereka. Kami ingin meyakinkan mereka bahawa mana-mana pemohon sebelumnya yang kini dapat menunjukkan bahawa mereka memenuhi piawai yang diperlukan boleh menghantar permohonan mereka, semasa jendela permohonan dibuka di bawah kerangka yang dikemas kini.



RINGKASAN



Sebagai agensi awam, Muis memandang serius semua tuduhan tersebut dan telah melakukan siasatan mendalam dan menyeluruh mengenai perkara tersebut. Siasatan itu tidak menemui bukti yang menyokong dakwaan perlakuan tidak wajar atau penyalahgunaan kuasa oleh pegawainya untuk nyahsenarai FHCB. Siasatan juga mendapati bahawa walaupun terdapat proses dan SOP yang sudah mapan bagi pengiktirafan FHCB, proses ini dapat dipertingkatkan lagi, memandangkan sifat landskap industri yang terus berkembang.



Sebagai penguasa keagamaan masyarakat Muslim di Singapura, Muis komited sepenuhnya dalam memastikan keperluan diet masyarakat Islam terus dipenuhi. Muis akan terus menguatkuasakan proses pengiktirafan FHCB yang mantap bagi memastikan keyakinan berterusan masyarakat terhadap bahan-bahan yang diimport yang digunakan syarikat makanan dan pengeluar makanan halal di Singapura adalah bahan yang diiktiraf. Semua ini adalah sebahagian daripada komitmen kami yang lebih besar untuk memenuhi keperluan sosio-agama masyarakat Muslim Singapura.



MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >