PARTI Pekerja (WP) sedar Cik Raeesah berbohong di parlimen sekitar seminggu selepas beliau membuat kenyataan palsu pada 3 Ogos, mengenai kes serangan seksual, dan telah meminta beliau menjelaskan perkara sebenar.
Namun, Cik Raeesah tidak berbuat demikian dan mengulangi bohong itu di sidang parlimen pada Oktober, kata Setiausaha Agung WP, Encik Pritam Singh.
Menurut Encik Pritam, kepimpinan parti itu telah memberi Cik Raeesah masa untuk menguruskan hal itu sendiri, kerana beliau memberitahu kepimpinan parti beliau juga mangsa serangan seksual dan belum memberitahu keluarganya.
Namun, Cik Raeesah tidak menjelaskan perkara sebenar di sesi parlimen pada Oktober lalu dan mengulangi kepalsuan yang bertentangan dengan apa yang telah dikongsi dengan kepimpinan WP, kata Encik Pritam, yang juga Ketua Pembangkang.
Encik Pritam berkata demikian di sidang media pada Khamis (2 Disember), dua hari selepas WP mengumumkan Cik Raeesah telah meletak jawatan dari parti dan sebagai Anggota Parlimen (AP).
Cik Raeesah tidah menghadiri sidang Parlimen pada September lalu kerana mengalami jangkitan kayap.
Dalam ucapannya di Parlimen pada Ogos lalu, Cik Raeesah berkata beliau telah menemani seorang mangsa rogol berusia 25 tahun untuk membuat laporan polis dan pegawai polis yang mewawancara mangsa telah membuat komen kurang sopan mengenai pakaian dan perbuatan mangsa yang minum arak.
Menyusuli itu, Cik Raeesah mengaku kisah itu telah dikongsi mangsa dalam kumpulan sokongan bagi wanita yang turut disertai oleh beliau dan beliau tidak mendapat kebenaran mangsa untuk berkongsi kisah itu.