Kepuasan pelanggan jadi tumpuan, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:33
Syuruk
6:56
Zuhur
12:59
Asar
4:22
Maghrib
6:59
Isyak
8:14
Suatu Ketika di Singapura
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat0

BERITA

Kepuasan pelanggan jadi tumpuan

Mar 27, 2021 | 05:30 AM

Gedung perabot dan peralatan elektronik, COURTS, akan membuka cawangan terbesarnya di The Heeren tahun depan, dengan ruang berbelanja sebesar 189,000 kaki persegi merentas enam tingkat dalam bangunan di Orchard Road itu. Cawangan baru itu akan menawarkan pengalaman pelanggan yang unik berdasarkan piawaian Jepun. Ini antara lain akan dicapai dengan memberi tumpuan kepada pembangunan pekerja menerusi pelaburan dalam peningkatan kemahiran dan latihan. BERITA HARIAN mengongsi pengalaman dua pekerja COURTS, dan pandangan mereka tentang rancangan majikan mereka membuka cawangan baru itu di tengah-tengah pandemik Covid-19.

Pengurus HR gigih latih jurujual demi kepuasan pelanggan

TUGAS Cik Juzailah Abdul Rahim tidak menghendakinya berinteraksi secara langsung dengan pelanggan yang datang beli-belah di gedung perabot dan peralatan elektronik COURTS.

Tetapi bidang tugasnya ada kaitan besar dengan rasa kepuasan pelanggan yang berbelanja di sana.

Ini kerana sebagai Pengurus Sumber Manusia (HR), beliau bertanggungjawab melatih jurujual di Courts, tidak kira sama ada mereka pekerja baru ataupun orang lama di sana.

Halal Home Based Business
Uncle Big's Kitchen

Shellout Platter Besar...dan banyak lagi!

Ms Lid's Packed Bento

Set bento untuk sumbangan atau delivery ke rumah

OKathira!

Air kathira luar biasa. Banyak inti, tak rugi!

Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

"Tugas saya rata-rata berkaitan penyusunan latihan dan saya sendiri terlibat dalam melatih kakitangan penjualan," kata Cik Juzailah, 42 tahun.

"Ini termasuk latihan bagi pekerja baru, di mana mereka antara lain dibimbing cara melayan pelanggan.

" Satu perkara unik di COURTS adalah proses penjualan perundingan atau consulting sales iaitu jurujual akan bertanya kepada pelanggan beberapa soalan untuk lebih memahami keperluan dan gaya hidup mereka, sebelum menjual barang yang mereka perlukan.

"Adalah penting bagi jurujual menanyakan soalan yang betul, jadi pelatih akan mengongsi pengetahuan ini kepada jurujual baru itu," tambahnya.

Ibu dua anak itu mula bekerja dengan COURTS pada 2006, tetapi berhenti selama dua tahun untuk menjaga anak-anaknya yang masih kecil, dan kembali ke sana sekitar 2010.

Beliau berpengalaman bekerja dalam jabatan sumber manusia dalam bahagian pengambilan kerja dan latihan.

"Saya memutuskan untuk menjadi pelatih kerana saya mahu memberi latihan yang terbaik kepada semua jurujual dan pekerja di COURTS, supaya akhirnya kami dapat memberi khidmat terbaik kepada pelanggan.

"Apabila saya melihat pelanggan berbelanja, saya berasa gembira kerana saya dapat membantu mereka mendapatkan apa yang mereka perlukan. Inilah yang memberi saya kepuasan sepanjang bekerja di COURTS," kata Cik Juzailah semasa ditemui di pejabatnya di COURTS Megastore di Tampines.

Beliau berkata, latihan telah diteruskan secara maya apabila semua cawangan COURTS ditutup semasa pemutus rantaian jangkitan pada April tahun lalu, malah lebih banyak latihan diadakan berbanding sebelum pemutus litar.

Cik Juzailah melihat cabaran penutupan itu sebagai satu peluang, dan dalam tempoh itu, di mana jurujual tidak dapat menjual barangan, mereka dilatih melakukan penjualan melalui telefon.

Perkongsian pengetahuan tentang produk turut diadakan secara maya.

"Kami juga mengajar mereka mengenai keutamaan peranan, dan pentingnya untuk mereka meningkatkan produktiviti serta rasa bertanggungjawab untuk melakukan kerja yang bermutu tinggi supaya setiap jurujual dan pekerja dapat kepuasan menyumbang kepada syarikat," terang Cik Juzailah.

Mengenai cawangan COURTS baru di The Heeren, beliau berkata ia sesuatu yang sangat dinantikan.

Daripada segi latihan, Cik Juzailah berkata beliau perlu memastikan pekerja dan jurujual mempunyai corak pemikiran yang betul untuk bekerja di cawangan di Orchard itu, yang menjanjikan pengalaman pelanggan yang unik berdasarkan prinsip Jepun untuk membangunkan kepercayaan dan hubungan dengan pelanggan.


"Saya memutuskan untuk menjadi pelatih kerana saya mahu memberi latihan yang terbaik kepada semua jurujual dan pekerja di COURTS, supaya akhirnya kami dapat memberi khidmat terbaik kepada pelanggan. Apabila saya melihat pelanggan berbelanja, saya berasa gembira kerana saya dapat membantu mereka mendapatkan apa yang mereka perlukan. Inilah yang memberi saya kepuasan sepanjang bekerja di COURTS."
- Pengurus Sumber Manusia (HR) di COURTS, Cik Juzailah Abdul Rahim.


Berani cuba pelbagai tugas berbeza sepanjang 28 tahun di COURTS

JIKA kebanyakan orang mungkin cuba mengelakkan daripada bertukar-tukar kerja, Encik Asmali Tarmon pula sering, malah suka, melakukan demikian.

Beliau tetap bersama gedung perabot dan peralatan elektronik COURTS, tetapi telah beberapa kali menukar jabatan sepanjang 28 tahun bekerja dengan syarikat itu.

Tugas pertama yang dilakukannya ialah sebagai kerani dalam bahagian akaun kredit, dan setelah lima tahun di sana, beliau ke jabatan logistik pula untuk bekerja sebagai eksekutif penghantaran.

Lima tahun kemudian, beliau berpindah pula ke bahagian penjualan, dan kekal di sana selama 18 tahun hingga hari ini.

Beliau kini merupakan Ace Consultant bagi barangan elektronik di cawangan COURTS di pusat beli-belah Causeway Point.

"Saya suka teroka bidang lain, jadi disebabkan itu saya sering bertukar jabatan. Kini saya bukan hanya merupakan jurujual, tetapi turut memberi latihan kepada jurujual baru.

"Sejauh ini dalam jabatan penjualan, saya telah ditugaskan ke bahagian barangan elektronik. Jika diberi peluang untuk mencuba kategori lain, saya tidak akan menolaknya. Malah saya sekarang sedang belajar selok-belok menjadi jurujual perabot," kata Encik Asmali, 50 tahun.

Beliau menambah, walaupun telah hampir tiga dekad bekerja di COURTS, masih ada pelbagai perkara untuk dipelajarinya.

Beliau masih menjalani latihan, yang diteruskan walau dalam keadaan pandemik dan semasa pemutus rantaian jangkitan (CB) pada April lalu.

Ini termasuk latihan daripada pembekal yang memberi tunjuk ajar tentang aspek teknikal barangan elektronik baru, dan juga latihan oleh pelatih COURTS seperti ilmu strategi menjual barang dan kemahiran berunding.

Encik Asmali berkata beliau telah melihat perbezaan dalam tabiat membeli pelanggan semasa pandemik Covid-19 ini, iaitu mereka tahu apa yang mahu dibeli dan tidak membuang banyak masa untuk 'tengok-tengok' barangan yang ditawarkan.

"Dahulu pelanggan akan datang dan lihat-lihat dahulu apa yang mungkin mereka perlukan. Mereka tidak akan segera beli. Tetapi sekarang, mereka datang dengan tujuan membeli barangan tertentu.

"Mungkin mereka terpaksa membuat penyesuaian kepada keadaan pandemik ini, dengan tidak meluangkan terlalu banyak masa di tempat yang mempunyai ramai orang, bagi mengelakkan risiko jangkitan," kata Encik Asmali.

"Bagaimanapun, jurujual tetap akan berusaha memberi maklumat lanjut dan membuat saranan yang sesuai, kerana kita mahukan yang terbaik untuk pelanggan," tambahnya.

Encik Asmali berkata beliau belum tahu sama ada beliau akan dihantar ke cawangan baru COURTS di The Heeren yang akan dibuka tahun depan.

Tetapi jika dihantar ke sana, beliau akan perlu meningkatkan lagi khidmat yang ditawarnya.

"Cawangan di Orchard itu kira berkelas tinggi sedikit. Jadi jurujual perlu ada penampilan yang baik. Kita mesti ada pengetahuan produk yang bagus, dan perkhidmatan pelanggan kita juga harus yang terbaik," katanya, yang menyifatkan rancangan membuka cawangan baru itu sebagai satu pelaburan yang baik dan berani di tengah-tengah pandemik ini.


"Saya suka teroka bidang lain, jadi disebabkan itu saya sering bertukar jabatan. Kini saya bukan hanya merupakan jurujual, tetapi turut memberi latihan kepada jurujual baru. Sejauh ini dalam jabatan penjualan, saya telah ditugaskan ke bahagian barangan elektronik. Jika diberi peluang untuk mencuba kategori lain, saya tidak akan menolaknya. Malah saya sekarang sedang belajar selok-belok menjadi jurujual perabot."
- 'Ace Consultant' di COURTS, Encik Asmali Tarmon.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map