Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SUSULAN RAPAT HARI KEBANGSAAN

'Keputusan perlukan banyak perbincangan dua hala bersama pelbagai pihak'

Aug 31, 2021 | 05:30 AM



AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, gembira isu pemakaian tudung oleh jururawat yang ditimbulkan oleh ramai AP Melayu/Islam sejak beberapa dekad lalu, menemui huraian yang objektif.



"Pengumuman ini adalah hasil kecekalan, kesabaran dan kerjasama para asatizah, pemimpin masyarakat dan pemerintah untuk mencari huraian secara tenang dan objektif.



"Namun, kita akur bahawa ini adalah sesuatu keputusan yang memerlukan banyak perbincangan dua hala bersama pelbagai pihak.



"Bukan sesuatu yang senang dihuraikan dengan sekelip mata. Terima kasih kepada masyarakat Melayu/Islam di Singapura. Bersama, kita boleh membangkitkan sebuah negara yang inklusif dan memupuk kesefahaman antara kaum untuk mencapai masa depan yang harmoni buat semua lapisan masyarakat," jelas Dr Wan Rizal.



Melahirkan sentimen serupa, AP GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha, menarik perhatian bahawa hasil itu hanya dapat dicapai menerusi usaha gigih ketua masyarakat untuk membincangkannya dengan penuh hormat dan mengumpul persetujuan secara berhati-hati daripada semua lapisan masyarakat.



"Amat menggalakkan untuk melihat hal seumpama ini dibincangkan secara terbuka dan saya berbesar hati menyaksikan masyarakat kita sudah jauh berubah," terang beliau.



Sementara itu, Setiausaha Parlimen (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Cik Rahayu Mahzam, menyifatkan isu tudung bagi golongan jururawat sebagai satu perkara yang dekat di hatinya.



Ini kerana beliau pernah mengetengahkan hal itu dalam dialog-dialog semasa beliau seorang pelajar lagi sehingga beliau menjadi AP hari ini dengan terlibat dalam banyak perbincangan mengenai hal itu.



"Saya gembira adanya perkembangan namun saya kini lebih sedar akan cabaran yang timbul.



"Saya berharap kita dapat terus kekal bersatu walau apa pun cabaran yang mendatang," kata beliau.



Turut mengalu-alukan pengumuman pemerintah itu ialah pengarah AMP, Encik Khairulnizam Massuan.



"Kami berasa lega kerana segala usaha dan penat lelah mereka yang bekerja di balik tabir termasuk AMP telah membuahkan hasil yang baik dan kami harap masyarakat am akan terima pengumuman ini dengan baik dan dengan niat yang betul," luahnya.



Satu lagi isu yang menarik perhatian beliau ialah sokongan yang akan dihulurkan kepada para pekerja gig kerana akur golongan itu memerlukan banyak pertolongan, maka peranan pemerintah dalam hal ini amat dihargai.



Syukur dengan perubahan terkini, pendakwah setempat Ustazah Nurul Izzah Khamsani berkata ini menunjukkan perlunya usaha berterusan dan perbincangan yang sivik sesama warga Singapura untuk membentuk sebuah masyarakat Singapura yang ideal serta inklusif, yang mengutamakan keharmonian sosial.



"Semoga para petugas kesihatan kita dapat terus bersikap profesional, dengan menghormati keperluan klinikal pekerjaan mereka dan dapat terus memberikan khidmat dengan profesionalisme yang tinggi," ujar beliau.



Dalam pada itu, mengulas tentang hal lain yang disentuh Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dalam Rapat Hari Kebangsaan kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki, Cik Zuraidah Ibrahim, berkata meskipun kita bangga dengan pencapaian masyarakat dan pelajar Melayu, badan itu akur banyak lagi yang boleh dilakukan bagi meningkatkan kemajuan masyarakat.



Menurut beliau, Mendaki dan M Kuasa Tiga (M3) akan bekerjasama dengan masyarakat untuk hulur tangan kepada golongan yang memerlukan.



"Umpamanya, melalui Projek Dian, kami akan tingkatkan inisiatif untuk mengenal pasti keluarga yang memerlukan dalam pelajaran.



"Kami juga akan bekerjasama dengan agensi masyarakat seperti SkillsFuture Singapore dan Tenaga Kerja Singapura untuk membantu keluarga yang memerlukan bantuan dalam pekerjaan," tambahnya.




SEKILAS PERUBAHAN



  • Jururawat Muslim dalam sektor jagaan kesihatan awam yang ingin memakai tudung semasa bertugas boleh berbuat demikian mulai 1 November

  • Staf Muslim dalam tugas lain juga dibenar berbuat demikian

  • Perubahan ini meliputi lebih 7,000 kakitangan wanita Muslim berseragam; termasuk staf SingHealth, National Healthcare Group (NHG), National University Health System (NUHS), Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB), Penguasa Sains Kesihatan (HSA), Vanguard Healthcare dan Ministry of Health Holdings

  • Satu panduan bagi memakai tudung akan diberikan oleh setiap institusi

  • Panduan ini mengambil kira keinginan sebahagian pekerja Muslim dalam sektor jagaan kesihatan untuk memakai tudung semasa bertugas, tanpa menjejas kerja yang dijalankan




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >