Keputusan tentang rumah mendiang Lee tidak perlu dibuat segera

KEPUTUSAN tentang nasib rumah mendiang Encik Lee Kuan Yew di Oxley Road tidak perlu dibuat segera, kerana satu-satunya anak perempuan mendiang Dr Lee Wei Ling akan terus tinggal di situ.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyentuh tentang rumah tersebut semasa berucap di Parlimen hari ini, Isnin.

"Jika dan apabila Dr Lee Wei Ling tidak lagi tinggal di rumah itu, Encik Lee telah menyatakan hasratnya apa yang harus dilakukan," kata PM Lee.

"Pada ketika itu, bercakap sebagai seorang anak lelaki, saya ingin melihat hasratnya dilaksanakan. Bagaimanapun, terpulang kepada Pemerintah pada hari itu untuk menimbangkan perkara tersebut," tambahnya.

Mendiang Encik Lee telah menyatakan dengan jelas dalam wasiatnya bahawa beliau mahu rumahnya dirobohkan, namun terdapat gesaan dari orang ramai supaya ia dipelihara sebagai sebahagian daripada sejarah Singapura.