Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kereta api TEL akan tiba setiap 5 minit semasa waktu sibuk

LTA akan semak kekerapan khidmat apabila jumlah penumpang TEL bertambah
Aug 28, 2021 | 05:30 AM



KERETA api yang berkhidmat di Laluan Thomson-East Coast (TEL) akan tiba di stesen setiap lima minit semasa waktu sibuk dan setiap sembilan minit semasa waktu tidak sibuk apabila tahap kedua laluan MRT itu dibuka hari ini.



Ini lebih kerap berbanding kekerapan setiap 10 minit semasa waktu sibuk dan setiap 15 minit semasa waktu tidak sibuk bagi perkhidmatan di tiga stesen pertama TEL di Woodlands.



Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata mereka akan menyemak kekerapan khidmat kereta api itu apabila jumlah penumpang yang menggunakan TEL bertambah.



Kereta api rata-ratanya tiba di stesen dengan kekerapan setiap dua hingga tiga minit semasa waktu sibuk dari 7 hingga 9 pagi di laluan MRT lain dan setiap lima hingga tujuh minit semasa waktu tidak sibuk.



Tahap kedua TEL yang dibuka hari ini - yang merangkumi enam stesen dan dinamakan TEL2 - menghubungkan stesen Springleaf, Lentor, Mayflower, Bright Hill, Upper Thomson dan Caldecott.



Tiga stesen lain - Woodlands North, Woodlands dan Woodlands South - dibuka Januari tahun lalu.



TEL2 mempunyai dua pusat pertukaran iaitu di Caldecott, yang terhubung dengan Laluan Circle Line (CCL); dan Bright Hill, yang akan dihubungkan dengan Laluan Rentas Pulau (CRL) pada masa akan datang.



Satu upacara pembukaan bagi TEL2 diadakan semalam.



Menteri Pengangkutan S. Iswaran yang hadir di upacara itu akur akan gangguan kepada penduduk serta pemilik kedai di sekitar kawasan stesen TEL2 itu semasa ia dibina dan merakamkan penghargaannya bagi kesabaran mereka.



"TEL2 menambah kepada kekerapan dan daya tahan sistem pengangkutan awam kita secara keseluruhan.



"Saya harap semua warga Singapura akan meraih manfaat dan menikmati kemudahan dengan pengangkutan awam kita," ujarnya.



Tetamu terhormat di upacara pembukaan semalam, Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara Teo Chee Hean, berkata TEL2 mungkin akan dikenali sebagai 'koridor makan', merujuk kepada kedai makan yang terletak dekat stesen laluan MRT itu.



TEL2 pada mulanya dijadual dilancarkan pada pertengahan kedua tahun lalu namun tertangguh akibat pandemik Covid-19 dan semakan sofwe sistem kereta api akibat masalah isyarat besar di TEL1 Disember lalu.



Encik Iswaran berkata TEL1 dan TEL2 akan dimanfaatkan sekitar 100,000 isi rumah.



Apabila siap sepenuhnya sekitar 2025, TEL yang sepanjang 43 kilometer dan merangkumi 32 stesen dijangka mempunyai 500,000 penumpang secara purata setiap hari di peringkat awal dan hingga sejuta penumpang dalam jangka masa panjang.



Laluan kereta api yang akan berkhidmat dari Woodlands ke Sungei Bedok dan menelan belanja lebih $25 bilion itu juga akan dihubungkan dengan laluan transit laju rentas sempadan ke Johor Bahru.




"TEL2 menambah kepada kekerapan dan daya tahan sistem pengangkutan awam kita secara keseluruhan.

Saya harap semua warga Singapura akan meraih manfaat dan menikmati kemudahan dengan pengangkutan awam kita."

- Menteri Pengangkutan, Encik S. Iswaran.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >