Kereta terbakar di tempat letak kenderaan Pasar Geylang Serai, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:10
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Setempat0

Kereta terbakar di tempat letak kenderaan Pasar Geylang Serai

Mar 08, 2021 | 05:30 AM

SEBUAH kereta di tempat letak kenderaan dekat pasar dan pusat makanan Geylang Serai dijilat api kelmarin.

Menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) semalam, mereka dimaklumkan tentang kebakaran di tempat letak kenderaan itu di Blok 2A Geylang Serai sekitar 5.15 petang kelmarin.

"Kebakaran itu melibatkan sebuah kereta.

"SCDF memadamkan api menggunakan satu hos air," ujar jurucakap SCDF.

Tambahnya, tiada kecederaan dilaporkan.

Berita Popular

Punca kebakaran sedang disiasat.

Rakaman video menunjukkan kebakaran itu tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp sejak kelmarin.

Video itu menunjukkan sebuah kereta yang dijilat api yang besar.

Malah pada satu ketika, satu bunyi letupan boleh didengar hingga menyebabkan individu yang merakam video tersebut terkejut.

Seorang wanita juga kedengaran menangis dan mengatakan sesuatu namun tidak jelas apa yang dikatakannya.

Satu lagi video yang tular menunjukkan kepulan asap dari arah Pasar Geylang Serai.

Individu yang merakam video itu berkata:

"Pasar Geylang... terbakar. Terdapat asap besar dari Pasar Geylang.

"Sekarang pukul 5.28 (petang) hari Sabtu. Asap tebal di Pasar Geylang."

Menurut beberapa pegerai di pasar dan pusat makanan Geylang Serai yang masih berada di gerai mereka sewaktu kejadian itu, mereka terkejut apabila terhidu bau sesuatu yang terbakar dan bunyi kuat.

Antara mereka termasuk Sheik Abdul Hannan Sheik Abdul Hamid, 32 tahun, yang mengendalikan gerai Geylang Briyani Stall.

Menurutnya, beliau sedang berehat selepas mengemas gerainya apabila terhidu bau besi terbakar.

Ketika itu, kebanyakan gerai makan sudah tutup tetapi kedai pakaian di sana masih dibuka.

"Kami semua panik dan berlari ke tempat letak kenderaan untuk melihat apa yang berlaku.

"Di sana, saya melihat api yang besar dan saya sendiri mendengar bunyi letupan kuat sekurang-kurangnya sekali.

"Rasa terkejut dan kasihan jugalah kerana waktu itu, saya tidak tahu ada orang ke tidak di dalam kereta yang terbakar itu," ujarnya.

Namun, beliau lega mendapat tahu bahawa tiada kecederaan yang dilaporkan akibat kejadian tersebut.

Tambahnya, ini kali pertama beliau melihat sendiri kebakaran di tempat letak kenderaan itu.

Bagi Encik Normanshah Mohd Sah, 45 tahun, yang mengendalikan gerai Otak-Otak Kampung, beliau tidak berada di gerainya semasa kejadian itu.

Namun menurutnya, keadaan kembali normal semalam.

"Keadaan kembali seperti biasa hari ini dan pegerai di sini meneruskan perniagaan seperti biasa," ujarnya.

Seorang pengunjung ke pasar dan pusat makanan Geylang Serai, Cik Mariah Ismail, 68 tahun, semalam berkata beliau turut terkejut mendapat tahu tentang kebakaran itu.

Beliau ke pasar itu bersama suaminya setiap Ahad dan mereka biasanya meletak kereta mereka di tempat letak kenderaan dekat pasar itu.

"Terkejut jugalah apabila saya dengar tentang kejadian itu kerana sebelum ini saya tak pernah dengar kejadian seperti ini.

"Tapi Alhamdulillah tak ada yang cedera," ujar beliau.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map