Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kerja bina terowong peluasan MRT Laluan Circle selesai

Jan 13, 2022 | 05:30 AM



KERJA penerowongan bagi peluasan MRT Laluan Circle selesai dijalankan semalam, menghubungkan hujung barat dan timur laluan berlingkar itu.



Dengan siapnya terowong dari stesen Prince Edward Road ke stesen Cantonment itu, ia bermakna siapnya 55 peratus daripada kerja sivil yang bermula pada 2019.



Terdapat tiga stesen di sepanjang peluasan empat kilometer itu, yang menjadikan Laluan Circle sebuah lingkaran penuh.



Selain stesen Prince Edward Road dan Cantonment ialah stesen Keppel.



Selepas ini, kerja penghubungan berstruktur akan dijalankan, disusuli pemasangan peralatan berkaitan trek serta sistem dan perkhidmatan elektrikal dan mekanikal.



Peluasan laluan MRT dari HarbourFront ke Marina Bay dijangka dibuka pada 2026, dan akan mengurangkan masa perjalanan.



Sebagai contoh, penumpang dari Telok Blangah akan boleh terus ke Marina Bay, menjimatkan masa sekitar 10 minit.



Peluasan Laluan Circle ini akan memberi akses lebih mudah ke kawasan seperti Spottiswoode, Keppel Road dan bahagian selatan di kawasan pusat perniagaan.



Ini bermakna akan terdapat sejumlah 33 stesen di sepanjang Laluan Circle, termasuk 12 stesen pertukaran yang dihubungkan dengan laluan MRT lain.



Bercakap dalam majlis penembusan terowong itu semalam, Menteri Pengangkutan, Encik S. Iswaran, berkata selesainya peringkat akhir kerja penerowongan adalah satu pencapaian penting, sambil menarik perhatian tentang cabaran yang timbul.



Ada cabaran disebabkan gangguan ekoran pandemik Covid-19, dan ada juga cabaran kejuruteraan.



"Kerja penerowongan itu sendiri harus dilakukan di bawah bangunan warisan berhampiran dengan asas bangunan komersial serta stesen MRT lain.



"Jadi ia merupakan satu cabaran kejuruteraan penting, yang juga harus diatasi," kata Encik Iswaran.



Misalnya, terowong di antara stesen Prince Edward Road dan Cantonment melintasi di bawah bekas Stesen Kereta Api Tanjong Pagar, iaitu monumen nasional yang diwartakan.



Memandangkan kerja itu dijalankan hanya 6.7 meter di bawah bangunan tersebut, langkah perlindungan tambahan harus dilaksana sebelum penerowongan bermula, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).



Ini termasuk memastikan struktur perlindungan dipasang bagi mengukuhkan ciri luaran dan dalaman Stesen Kereta Api Tanjong Pagar.



Lebih 600 instrumen pemantauan dipasang bagi mengesan sebarang pergerakan bangunan semasa kerja penerowongan, tambah LTA.



Walau apa pun, Encik Iswaran berkata peluasan ini adalah satu "peningkatan nyata bagi penumpang individu".



Selain itu, ia mengukuhkan lagi daya ketahanan sistem MRT keseluruhan Singapura.



Dalam pada itu, LTA berkata kerja peluasan Depoh Kim Chuan di Paya Lebar sedang berjalan dengan lancar. Depoh bawah tanah itu akan menempatkan 23 kereta api baru yang akan diperolehi bagi Laluan Circle yang diperluas.



Secara keseluruhan, Depoh Kim Chuan Depot akan menempatkan 133 kereta api, berbanding 70 sekarang. Ia juga akan menerapkan sebuah depoh bas yang boleh menampung lebih 500 bas.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >