KERJA kemasyarakatan memberi semangat baru buat dua belia yang menuntut di Institut Pendidikan Teknikal (ITE).
Encik Muhammad Shazuan Shiraj Abdullah dan Cik Nur Afaf Rusydah Mohammad Taha, kededuanya 18 tahun, melihat perubahan ketara dalam diri mereka setelah terlibat dalam pelbagai projek masyarakat yang memberi sinar baru buat kehidupan orang lain.
Hasilnya, kesungguhan mereka yang mencetus inspirasi buat belia sebaya lain diiktiraf menerusi Anugerah Kecemerlangan Pelajar Rotary-Institut Pendidikan Teknikal (ITE) yang disampaikan di Hotel Jen (Tanglin) pagi tadi.
Ini merupakan tahun ke-20 anugerah tersebut yang menyokong dan mengiktiraf pelajar ITE agar mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik, kepimpinan, keperibadian dan khidmat kemasyarakatan disampaikan.
Kata Encik Muhammad Shazuan yang mengikuti kursus Nitec dalam Jagaan Kemasyarakatan dan Khidmat Sosial:
"Sejak saya terlibat dalam kerja kemasyarakatan, saya tidak lagi merasakan gejolak di jiwa remaja yang ingin memberontak dengan melakukan perkara yang tidak bermanfaat."
Cik Nur Afaf, pelajar Nitec dalam Teknologi Kemudahan (Khidmat Landskap) pula menambah:
"Sebenarnya, kerja kemasyarakatan ini tidak memberatkan. Anda malah mampu menyumbang secara kecil-kecilan menggunakan hobi seperti menyiapkan kraftangan daripada barangan terpakai."