Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kerja pembangunan Pedra Branca termasuk penebusgunaan tanah mula akhir tahun ini: MND

Jul 05, 2021 | 11:50 PM



KERJA-KERJA memperbaiki kemudahan yang sedia ada, menyediakan ruang penambatan kapal dan menambah logistik, sokongan pentadbiran dan kemudahan komunikasi di Pulau Pedra Branca dijangka bermula hujung tahun ini.



Ia juga meliputi kerja penebusgunaan tanah seluas 7 hektar, jelas pemerintah pada Isnin (5 Julai).



Pembangunan yang dirancang adalah bagi memperkukuh keselamatan kelautan dan memperbaiki keupayaan mencari dan menyelamat di kawasan ini.



Kerja penebusgunaan tanah ini akan dijalankan dalam rangka sekitar 0.5 batu nautika dari Pedra Branca dan kawasan perairan wilayah Singapura berhampiran Pedra Branca. Satu batu nautika ialah sekitar 1.85 kilometer.



"Semua kerja akan dijalankan sejajar dengan undang-undang domestik Singapura dan undang-undang antarabangsa," kata jurucakap Kementerian Pembangunan Negara (MND) sambil menambah kerja-kerja ini dijangka mengambil masa beberapa tahun untuk tamat.



Pulau yang letaknya sekitar 14 kilometer daripada pinggir pantai timur Singapura kini mempunyai kemudahan seperti Rumah Api Horsburgh, landasan untuk helikopter, loji penyahmasinan, kemudahan bagi sistem maklumat trafik kapal serta menara komunikasi dan stesen siaran semula.



Kerja penebusgunaan tanah ini akan dikendalikan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) - sebuah agensi di bawah MND.



Kata jurucakap itu: "Secara umum, kerja pembangunan ini akan memberikan kita lebih kesedaran tentang kawasan perairan sekitar Pedra Branca dan membolehkan kita memberi respons lebih cepat pada keselamatan kelautan dan ancaman keselamatan."



Beliau menambah Singapura mengambil keputusan mengusahakan kerja pembangunan ini seawal 1970-an tetapi menunda rancangan itu kerana perselisihan guaman antara Singapura dengan Malaysia mengenai kedaulatan Pedra Branca, Middle Rocks dan South Ledge.



Pada 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menganugerahkan Singapura kedaulatan ke atas Pedra Branca.



"Pihak ICJ dalam pengadilannya melahirkan keakuran bahawa Singapura mempunyai rancangan penebusgunaan tanah di Pedra Branca.



"Dengan permohonan Malaysia bagi semakan dan takrifan penilaian ICJ pada 2018 dihentikan, Singapura akan meneruskan kerja pembangunan ini," tambah jurucakap itu.



Mengenai kesan kerja penebusgunaan tanah itu terhadap hidupan laut dan burung, MND berkata pihak konsultan DHI Water and Environment telah menjalankan penilaian kesan sekitaran.



"DHI telah menilai bahawa kerja pembangunan tidak akan menjejas arus, pergerakan butiran endapan, mutu air, pengemudian, kesihatan manusia dan kegiatan riadah," jelas jurucakap itu.



"Terumbu karang yang letaknya di kawasan penebusgunaan akan dilenyapkan secara tetap. Namun, habitat yang sama dalam kawasan lebih besar akan dibangunkan semula di kawasan penebusgunaan tanah yang baru ini bagi menggantikan kehilangan habitat asal," jelas MND.



 



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >