BANYAK kerja mendesak lagi penting yang perlu segera dilakukan bagi lebih memahami varian koronavirus baru Omicron, kata Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) pada Ahad (28 November)
Ia menambah walaupun Omicron muncul baru-baru ini, varian ini harus masih dikesan menggunakan ujian reaksi rantaian polymerase (PCR).
Menjawab pertanyaan daripada akhbar The Straits Times, seorang jurucakap NCID berkata:
"Masih kekal banyak kerja mendesak untuk lebih memahami varian ini. Ini termasuk dari segi daya mudah menjangkiti, diagnostik, manifestasi klinikal, tahap keterukan penyakit, keimunan yang diperolehi dari vaksin atau jangkitan semula jadi dan lain-lain."
Jurucakap itu menambah sebarang kes positif harus dikesan dengan ujian yang digunakan kini.
Beliau berkata NCID akan terus memantau dan bekerjasama di peringkat antarabangsa untuk melanjutkan pemahaman mengenai varian baru pencetus keprihatinan ini.
Omicron atau varian koronavirus B.1.1.529 ini dianggap varian pencetus keprihatinan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat.
Dilihat sebagai lebih mudah menjangkiti, varian Covid-19 yang mula dikenal pasti di Afrika Selatan pada 11 November itu turut ditemui di Botswana dan Hong Kong.
Singapura dan negara lain sejak beberapa hari lalu telah mengekang kembara dari bahagian selatan Afrika di tengah-tengah kewujudan varian Omicron ini.