Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kerjasama semua perlu kekang perubahan iklim

Nov 29, 2018 | 05:30 AM



  • Masagos gesa kerjasama antara agensi awam, industri, masyarakat sivil dan individu bagi bina Singapura yang berdaya tahan dan mampan

  • S'pura akan anjur Minggu Tindakan Iklim tahun depan sebagai susulan peruntuk tahun ini sebagai Tahun Tindakan Iklim

PEMERINTAH akan terus menerajui usaha tindakan iklim di sini dengan membangunkan prasarana, rangka kerja serta perancangan perubahan industri, kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.



Namun, tiada pemerintah boleh menjalankan usaha itu sendiri.



Justeru Encik Masagos berkata kerjasama antara agensi awam, industri, masyarakat sivil dan individu diperlukan dan kekal sebagai pihak-pihak yang dapat menggandakan usaha membina Singapura yang berdaya tahan dan mampan.



Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis penghargaan Tahun Tindakan Iklim di Orchard Hotel semalam.



Singapura telah memperuntukkan tahun ini sebagai Tahun Tindakan Iklim dan ini telah diumumkan Encik Masagos semasa beliau menyampaikan kenyataan nasional Singapura ketika mewakili negara di Konvensyen Rangka Kerja Perjanjian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP-23) di Jerman tahun lalu.



"Kami sedar bahawa walaupun pemerintah mempunyai rancangan jelas untuk mengurangkan perubahan iklim dan membuat penyesuaian, kesedaran di kalangan warga Singapura bahawa perubahan iklim telah menyebabkan suhu yang lebih tinggi dan cuaca ekstrem masih berkurangan.



"Lebih penting lagi, ini tidak mencetuskan tindakan bagi mengurangkan pengeluaran karbon. Kami sedar adalah penting untuk meningkatkan kesedaran nasional dan perlunya bagi tindakan segera bersama, bukan sahaja pemerintah tetapi bersama orang awam dan sektor swasta," katanya.



Usaha yang dijalankan tahun ini menerusi Tahun Tindakan Iklim harus diteruskan.



Oleh itu, Encik Masagos mengumumkan bahawa Singapura akan menganjurkan Minggu Tindakan Iklim tahun depan.



Tahun depan juga, Singapura akan mempercepat usaha demi mencapai matlamat menjadi negara sifar sampah dan berusaha membina ekonomi pusingan (circular economy) yang dapat memperolehi nilai maksimum daripada sumber yang berharga lalu mengubah sampah menjadi 'khazanah', tambahnya.



"Kami akan mengubah industri kita untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan baru.



"Visi saya bagi Singapura ialah untuk menjadi sebuah lombong bandar, dengan sumber yang mempunyai banyak kitaran hidup," kata Encik Masagos.



Dalam ucapannya, beliau turut menarik perhatian tentang pelbagai kerjasama yang dijalankan bagi mengurangkan perubahan iklim.



Sebagai contoh, lebih 800 acara berkaitan tindakan iklim telah diperkenalkan dan dianjurkan oleh rakan kerja 3P (Masyarakat, Swasta, Awam), dengan 300 daripadanya disokong Geran Tindakan Iklim.



Beberapa duta tindakan iklim juga muncul, termasuk institusi pendidikan dan pertubuhan akar umbi yang telah menggiatkan usaha bagi menggalak pelajar dan penduduk mereka untuk mengamalkan gaya hidup mampan dan mengurangkan jejak karbon mereka menerusi langkah yang mudah seperti mengitar semula.



Kementerian di sini juga telah mengambil ikrar tindakan iklim dan akan mengurangkan penggunaan plastik, air dan elektrik, kata Encik Masagos.



Menggariskan antara rancangan tindakan iklim Singapura, beliau berkata pemerintah komited memenuhi komitmen Perjanjian Paris dan membuat penyesuaian dengan kesan perubahan iklim.



Misalnya, Loji Penyulingan Tuas (TDP) dan Longkang Besar Lencongan Stamford (SDC) masing-masing dibuka pada Jun dan September lalu untuk meningkatkan daya tahan negara ini terhadap cuaca ekstrem termasuk kemarau dan banjir kilat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >