Pemerintah akan menerbitkan satu kertas konsultasi mengenai rangka kerja perkongsian kerugian secara saksama bagi penipuan kewangan, kata Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan, pada Isnin.
Rangka kerja itu, yang bertujuan menggariskan bagaimana kerugian akibat penipuan harus dikongsi antara para pengguna dan institusi kewangan, pertama kali diumumkan pada Februari 2022 selepas hampir 800 pelanggan OCBC kehilangan S$13.7 juta kesemuanya kepada penipu.
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) telah berkata ia akan menerbitkan dalam masa tiga bulan, satu draf rangka kerja untuk konsultasi awam. Namun, dalam jawapan parlimen sebelum ini, pengawal selia sektor kewangan itu berkata prosesnya telah “mengambil masa lebih lama daripada jangkaan”.
Memberi perkembangan terkini di Parlimen pada Isnin, Encik Tan berkata: “Walaupun ini mengambil masa lebih lama daripada yang kita inginkan, pemerintah ingin menerbitkan kertas konsultasi mengenai rangka kerja ini pada bulan depan, dengan memberi tumpuan kepada penipuan pancingan data, sebagai permulaan.”
Beliau memberi respons kepada usul penangguhan daripada Anggota Parlimen bagi Parti Pekerja (WP), Cik Sylvia Lim, yang ingin tahu perkembangan terkini mengenai draf rangka kerja itu.
Cik Lim memberi tiga cadangan mengenai cara melindungi pelanggan bank daripada penipuan dengan lebih baik. Contohnya, beliau menggesa pemerintah untuk mempertimbangkan idea daripada negara lain seperti United Kingdom, yang mulai tahun depan, bank-bank di negara itu diperlukan oleh undang-undang untuk membayar balik wang kepada mangsa penipuan.
Encik Tan menjelaskan bahawa pihak berkuasa sedang mengawasi perkembangan di luar negara dan akan mengambil kira hal itu, sedang rangka kerja perkongsian kerugian dibangunkan lagi.
Ini termasuklah bagi jenis penipuan lain dalam ekosistem bayaran digital, jelas beliau.
Dalam ucapannya, Cik Lim, yang juga Pengerusi WP, bercakap mengenai “kekurangan” dalam rangka kerja yang dipertimbangkan oleh Singapura bagi perkongsian kerugian akibat penipuan.
Walaupun perinciannya belum diterbitkan, pihak berkuasa sebelum ini berkata para pelanggan mempunyai tanggungjawab untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan mungkin perlu menanggung sebahagian daripada kerugian dalam kes penipuan, bergantung sama ada mereka gagal menjalankan tanggungjawab.