PERBINCANGAN TENTANG PEMBANGUNAN WANITA
Kertas Putih dibentang di Parlimen separuh kedua tahun ini
KERTAS Putih berkenaan pembangunan wanita Singapura akan dikemukakan di Parlimen hanya pada separuh kedua tahun ini, menurut Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam semalam.
Beliau berkata tarikh bagi mengemukakan Kertas Putih tersebut telah dilambatkan sedikit kerana minat yang tinggi dan penyertaan yang banyak dalam perbincangan yang diadakan berkenaan isu tersebut.
"Kami merancang melewatkan Kertas Putih itu kepada separuh kedua 2021 kerana kami mahu mendengar daripada semua orang.
"Kami sudah pun mendengar daripada lebih 1,000 peserta sejauh ini dan masih ada sekitar 100 sesi yang telah dirancangkan, jadi ia semestinya maklum balas dari orang ramai yang cukup substantif," kata Encik Shanmugam.
Beliau menambah bahawa pemerintah akan mempertimbangkan semua cadangan yang terlahir hasil sesi-sesi dialog yang diadakan, kertas yang dilakarkan badan bukan mencari keuntungan serta badan lain, dan melakukan pertimbangan dari segi ekonomi dan perniagaan sebelum membuat sebarang keputusan.