Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kertas Putih galak warga lebih proaktif jaga kesihatan

Sep 22, 2022 | 05:30 AM



  • Galak warga dukung pelan kesihatan, ubah gaya hidup dan kerap jalani pemeriksaan

  • Usaha dapatkan seberapa banyak klinik keluarga privet jadi sebahagian SG Lebih Sihat: Ye Kung

KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) telah mengemukakan kepada Parlimen satu Kertas Putih mengandungi saranan bagi menggalak warga Singapura lebih proaktif dalam menjaga kesihatan mereka dengan mewujudkan hubungan kukuh bersama doktor keluarga serta sokongan negara.



Kertas Putih SG Lebih Sihat ini merupakan satu peralihan daripada sikap reaktif dalam "merawat penyakit" kepada langkah proaktif dalam mencegah individu daripada jatuh sakit.



Penduduk digalak mendaftarkan diri mereka dalam program di serata negara ini, di mana mereka akan membuat komitmen bertemu seorang doktor keluarga dan mengamalkan pelan kesihatan, termasuk mengubah gaya hidup mereka, kerap jalani pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan vaksinasi.



Pendaftaran akan bermula dengan mereka yang berusia 60 tahun ke atas pada separuh kedua tahun depan, disusuli mereka yang berusia 40 hingga 59 tahun dalam dua tahun mendatang.



Mendedahkan Kertas Putih setebal 63 muka surat itu semalam, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata yang amat penting ialah mengerahkan seberapa banyak klinik keluarga privet menjadi sebahagian daripada SG Lebih Sihat.



"Mereka (klinik keluarga) dalam masyarakat dan merupakan titik pertemuan penting semua penduduk jika kita ingin amalkan penjagaan pencegahan secara strategik," katanya.



Sejak Mac lalu, MOH telah mengadakan konsultasi dengan lebih 6,000 penduduk dan melibatkan pihak-pihak berkepentingan seperti doktor keluarga (GP) privet, majikan dan rakan masyarakat untuk menghasilkan ciri-ciri utama strategi SG Lebih Sihat.



Ini termasuk mengerah rangkaian doktor keluarga Singapura supaya menyediakan penjagaan pencegahan penyakit bagi penduduk; membangunkan pelan kesihatan, termasuk penyesuaian kepada gaya hidup dan pemeriksaan kesihatan yang kerap serta vaksinasi sesuai, selain mengerah rakan masyarakat agar menyokong penduduk dalam menjalani gaya hidup lebih sihat.



Di bawah strategi itu, penduduk akan digalak memilih dan mendaftarkan diri dengan seorang doktor keluarga, yang akan menjadi kontak pertama bagi menguruskan kesihatan mereka secara menyeluruh.



Selepas pendaftaran, penduduk boleh menetapkan jadual bagi konsultasi kesihatan secara bersemuka, dengan kos konsultasi pertama adalah percuma.



Ini disusuli pula dengan pelan kesihatan yang dibangunkan bersama doktor mereka dan berbincang bagaimana memperbaiki kesihatan seperti penyesuaian gaya hidup.



Para penduduk berpeluang raih manfaat di klinik di mana mereka mendaftarkan diri bagi SG Lebih Sihat, termasuk pemeriksaan dan vaksinasi yang disarankan di peringkat nasional dengan subsidi penuh bagi warga Singapura; tiada bayaran bersama secara tunai apabila gunakan MediSave bagi pengurusan penjagaan kronik; dan akses kepada subsidi berperingkat Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) yang baru di mana harga ubat pengurusan penyakit kronik biasa di klinik doktor keluarga privet mereka itu dipadankan dengan harga di poliklinik.



Hadiah juga diberi kepada penduduk yang mendaftarkan diri dan menyelesaikan konsultasi pertama mereka dengan doktor keluarga serta menjalani gaya hidup aktif dan sihat.



Sebagai permulaan, klinik-klinik keluarga swasta di bawah Rangkaian Penjagaan Asas (PCN) serta poliklinik akan dilibatkan dalam strategi tersebut - sebagai titik permulaan pertama dalam perjalanan pesakit.



Strategi tersebut juga akan memudahkan penduduk berhubung dengan rakan masyarakat seperti Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB); Agensi bagi Jagaan Bersepadu (AIC); Persatuan Rakyat (PA) dan ActiveSG bagi penglibatan dalam kegiatan aktif.



Dalam usaha menyatukan semua ciri tersebut, strategi itu akan menyatukan kelompok penjagaan kesihatan bagi menyelaras kerjasama ini.



Prasarana teknologi maklumat juga akan dipertingkat bagi penyaluran data yang diperbaiki dan perkongsian maklumat klinikal bagi memudahkan kededua pesakit dan doktor.



Kertas Putih ini akan dibahaskan di Parlimen bulan depan.




SEKILAS CIRI UTAMA KERTAS PUTIH SG LEBIH SIHAT



1. Mengerah rangkaian doktor keluarga Singapura untuk menyediakan penjagaan pencegahan penyakit bagi penduduk



2. Membangunkan pelan kesihatan termasuk penyesuaian kepada gaya hidup dan pemeriksaan kesihatan yang kerap serta vaksinasi sesuai



3. Mengerah rakan masyarakat untuk menyokong penduduk dalam menjalani gaya hidup lebih sihat



4. Melancarkan program pendaftaran nasional bagi penduduk memberi komitmen berjumpa seorang doktor keluarga bagi mengamalkan pelan kesihatan



5. Menubuhkan pengupayaan penting seperti Teknologi Maklumat (IT), pelan pembangunan tenaga manusia dan dasar kewangan untuk memastikan SG Lebih Sihat berjaya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >