PENGUASA Bangunan dan Binaan (BCA) telah menarik balik permit kerja-kerja binaan dan akan menyiasat punca kejadian keruntuhan jejambat yang berlaku awal pagi tadi (14 Julai), mengorbankan seorang pekerja dan mencederakan 10 yang lain.
Struktur berdekatan dengan jalan susur keluar Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) ke Ekspreswe Tampines (TPE) runtuh sekitar 3.30 pagi tadi.
Pegawai BCA telah melawat tapak kejadian pagi tadi dan telah mengarahkan Individu Berkelayakan (Qualified Person) projek itu untuk memeriksa baki struktur yang menyokong baki jejambat itu.
Kawasan terjejas telah dikepung.
Bagaimanapun BCA menyatakan baki jejambat yang dibina tidak terletak di atas sebarang jalanraya dan tidak akan menimbulkan risiko kepada orang awam.
Menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) seorang pekerja - lelaki asal Cina 31 tahun - disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik, manakala 10 lain dihantar ke Hospital Besar Changi.
Dalam satu kenyataan media, LTA berkata syarikat Or KimPeow(OKP) Contractors sedang menjalankan pekerjaan untuk memasang pelantar bagi jejambat baru itu apabila sebahagian struktur di antara dua tiang runtuh.
OKP pernah didenda kerana kesilapan keselamatan. Pada Selasa lalu, ia didenda berkaitan satu lagi kejadian pada 2015 di mana seorang pekerja meninggal dunia.
Sebelum itu, ia di dalam senarai hitam di antara Januari dengan April tahun ini.