Kes Aloysius Pang: Dua anggota SAF bakal didakwa di mahkamah tentera berhubung kematian pelakon
Dua askar yang berada dalam kabin meriam kereta kebal bersama mendiang Aloysius Pang akan menghadapi tuduhan di mahkamah tentera pada Rabu (31 Julai), kata Kementerian Pertahanan (Mindef).
Mereka adalah Military Expert 2 (ME2) Ivan Teo, 35 tahun dan Sarjan Ketiga (NS) Hubert Wah, 31 tahun
ME2 Teo akan menghadapi tiga tuduhan - satu kerana tidak mematuhi perintah umum di bawah Akta Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan lagi dua tuduhan kerana menyebabkan kematian dengan kelakuan cuai di bawah Kanun Jenayah.
3SG (NS) Wah akan menghadapi dua tuduhan - satu tuduhan kerana menyebabkan kematian dengan kelakuan cuai dan satu tuduhan menyebabkan kematian kerana perbuatan terburu-buru.
Mereka akan dituduh di Pusat Mahkamah Tentera di Kem Kranji II.