SEORANG lelaki yang didakwa membunuh Cik Felicia Teo Wei Ling pada 30 Jun 2007 telah dilepaskan namun tidak dibebaskan daripada tuduhan (DNATA) hari ini (27 Jun) bagi dakwaan membunuh yang dihadapinya.
Namun, dia dijangka mengaku bersalah minggu depan bagi kesalahan lebih ringan termasuk bagi tuduhan meletakkan mayat mangsa di tempat awam secara terlarang.
Individu yang diberikan DNATA masih boleh didakwa bagi jenayah yang berkaitan dengannya sekiranya bukti atau maklumat relevan timbul kemudian.
Dokumen mahkamah tidak mendedahkan bagaimana Cik Teo, 19 tahun, meninggal dunia dan siapa bertanggungjawab bagi kematiannya.
Ahmad Danial Mohamed Rafa’ee, 37 tahun, menghadapi tuduhan membunuh wanita itu di sebuah flat di Blok 19 Marine Terrace.
Seorang lagi lelaki, Encik Ragil Putra Setia Sukmarahjana, yang berusia 18 tahun ketika kejadian tersebut, turut didakwa terlibat.
Pihak pendakwa mengusulkan agar Ahmad dilepaskan tetapi tidak membawa kepada pembebasan kerana Encik Ragil, seorang warga Indonesia, masih belum dapat dikesan.
Timbalan Pendakwa Raya, Encik Yang Ziliang, dan Encik R. Arvindren, berkata pihak pendakwa masih menantikan penangkapan Encik Ragil.