KES cacar monyet setempat yang kedua telah dilaporkan di Singapura semalam (13 Julai).
Ini bermakna terdapat lima kes cacar monyet di sini sejauh ini.
Menurut laman web Kementerian Kesihatan (MOH), kes terkini itu melibatkan seorang lelaki warga Britain berusia 48 tahun yang tinggal di Singapura.
Beliau diuji positif bagi kes cacar monyet semalam dan kini dirawat di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dalam keadaan stabil.
Pesakit itu telah mengalami ruam di bahagian sekitar duburnya pada 6 Julai dan demam pada 11 Julai.
Beliau berjumpa dengan doktor semalam dan kemudian dibawa ke NCID.
MOH berkata usaha penjejakan kontak kini sedang dijalankan.