JUMLAH kematian dan kecederaan parah di tempat kerja berkurangan dalam suku ketiga tahun ini, namun Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH) memberi amaran bahawa pemantauan yang tinggi diperlukan bagi memastikan penambahbaikan ini berkekalan dalam bulan-bulan mendatang.
Minggu lalu, dua lagi pekerja meninggal dunia semasa bekerja, menjadikan 42 kematian di tempat kerja tahun ini – tertinggi dalam empat tahun.
Terdapat 37 kematian berkaitan pekerjaan pada tahun lalu, 30 pada 2020 dan 39 pada 2019.
“Dengan musim perayaan akhir tahun menjelang, kami gesa pihak industri dan pekerja untuk kekal waspada dan mematuhi prosedur kerja yang selamat,” kata majlis itu pada Khamis (1 Dis), apabila ia membentangkan statistik keselamatan tempat kerja nasional bagi tiga bulan antara Julai dengan September.
“Kami ingin ingatkan majikan supaya terus mengutamakan WSH agar kita dapat akhiri 2022 dengan selamat dan sihat,” katanya.
Seramai sembilan pekerja meninggal dunia pada suku ketiga tahun ini, penurunan daripada 19 pada suku kedua, dan sejajar dengan sembilan kematian berkaitan pekerjaan yang dicatat pada suku pertama.
Sejumlah 138 pekerja mengalami kecederaan teruk semasa bekerja antara Julai dengan September, turun daripada 145 antara April dengan Jun, dan 153 antara Januari dengan Mac.
Contoh kecederaan serius termasuk amputasi, patah tulang yang serius dan buta.
Kecederaan kecil di tempat kerja naik pada suku ketiga sebanyak 5,495 kes berbanding dengan suku kedua, sebanyak 5,327 kes.
Ini agak serupa dengan 5,485 kecederaan kecil di tempat kerja yang dicatat pada suku ketiga tahun lalu.