JUMLAH kes denggi jatuh turun ke 421 dalam minggu 7 hingga 13 Feb, menurut angka terkini yang dikeluarkan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Walaupun ia 104 kes kurang daripada bilangan yang dilaporkan minggu lalu, NEA berkata angka itu "masih jauh lebih tinggi daripada biasa" bagi tempoh ini tahun ini.
Sebanyak 3,454 kes dilaporkan sejak Januari 3
Dua orang telah mati akibat virus itu tahun ini - seorang lelaki warga Singapura berusia 67 tahun yang tinggal di Toa Payoh dan seorang lelaki berusia 47 tahun yang tinggal di Marsiling Rise.
Terdapat peningkatan dalam jumlah nyamuk Aedes kerana keadaan panas yang disebabkan oleh fenomena El Nino.
Keadaan ini mempercepat pembiakan dan kematangan nyamuk, serta mengurangkan tempoh pengeraman virus itu, tambah NEA.
Selain itu, peratusan kes denggi berpunca daripada serotip DENV-2 telah meningkat dan kini mencakupi kira-kira dua pertiga daripada semua kes denggi di Singapura.
Sebelum ini, serotip DENV-1 dominan sejak Mac 2013.
Menurut NEA, pembasmian sumber habitat pembiakan terus diberi keutamaan. Menggesa orang ramai supaya memeriksa premis mereka setiap hari, ia menambah bahawa pembeli dan pemilik pokok perlu lebih berhati-hati terutama semasa dan selepas perayaan Tahun Baru Cina.
Orang ramai juga digalak menyertai usaha bersama untuk membantu menghentikan kitaran jangkitan denggi dengan melakukan lima langkah Mozzie Wipeout.
Maklumat terkini mengenai keadaan denggi boleh didapati di halaman Facebook Stop Dengue Now, www.dengue.gov.sg atau aplikasi myENV.