Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kes denggi dijangka naik, projek Wolbachia diperluas

Jun 16, 2022 | 05:30 AM



Hingga kelmarin, lebih 15,000 kes denggi telah dilaporkan di Singapura tahun ini.



Jumlah itu dijangka terus bertambah sedang negara ini memasuki musim kemuncak denggi antara Jun dengan Oktober.



"Situasi ini memerlukan semua orang termasuk individu dan pemilik premis memainkan peranan masing-masing untuk memutuskan penularan penyakit ini dengan bersikap berjaga-jaga terhadap air bertakung dan kemungkinan berlakunya tempat pembiakan nyamuk di rumah dan premis kita," ujar Cik Fu.



Pengerusi panel penasihat pakar denggi, Profesor Duane Gubler, yang juga Profesor Emeritus di Sekolah Perubatan Duke-NUS, berkata 'keadaan seperti biasa' bukan satu pilihan dengan ancaman denggi yang kian meningkat.



"Teknologi baru, termasuk Wolbachia dan vaksin denggi, menawarkan wadah baru untuk melengkapi dan memperkukuh usaha kawalan denggi sedia ada selain mencegah penularan epidemik penyakit ini," ujarnya.



Dilancarkan pada 2016, Projek Wolbachia melibatkan usaha melepaskan nyamuk Aedes-aegypti jantan yang dijangkiti dengan bakteria Wolbachia di kawasan terpilih.



Apabila nyamuk Aedes betina yang tidak dijangkiti dengan bakteria itu mengawan dengan nyamuk jantan itu, ia menghasilkan telur yang tidak boleh menetas.



Ini dapat mengurangkan jumlah nyamuk Aedes-aegypti, yang juga vektor denggi utama di sini.



Berucap di sidang itu semalam, pengarah kumpulan Institut Kesihatan Sekitaran di Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Profesor Madya Ng Lee Ching, berkata Projek Wolbachia mempunyai kesan 'pemadam' di kawasan yang menjalankan projek itu.



Tambahnya, ia dapat mengurangkan jumlah kes denggi di kawasan seperti Tampines dan Yishun hingga 70 peratus sejauh ini, tahun ini.



"Hasil di kawasan kajian sekarang menunjukkan keberkesanan teknologi Wolbachia dalam usaha mengurangkan jumlah nyamuk Aedes-aegypti di kawasan ini," ujar beliau.



Cik Fu berkata langkah memperluas projek itu, dengan Projek Wolbachia akan dikendali di sebanyak 13 tempat berbanding lima kawasan sekarang, akan membolehkan pihak berkuasa memahami kesan pengendaliannya di berbilang kawasan secara berskala besar.



Kawasan baru tempat projek itu akan dijalankan termasuk Bedok North, Bedok Reservoir, Choa Chu Kang (Yew Tee), Geylang, Hougang, Punggol, Sengkang dan Woodlands.



Kawasan itu dipilih berdasarkan beberapa faktor termasuk tahap risiko denggi, jumlah nyamuk Aedes-aegypti, saiz dan landskap kawasan itu serta keupayaan NEA menghasilkan dan melepaskan nyamuk tersebut.



Untuk menyokong usaha memperluas projek itu, NEA akan menambah jumlah nyamuk Wolbachia-Aedes jantan yang dihasilkan seminggu daripada dua juta nyamuk kepada lima juta nyamuk menjelang hujung tahun ini, ujar Cik Fu.



Beliau menarik perhatian bahawa pengurusan sekitaran yang baik untuk mencegah pembiakan nyamuk adalah asas penting bagi program kawalan denggi NEA, dilengkapi dengan kerjasama kukuh dalam sektor awam, privet dan masyarakat.



Tambahnya, seorang individu yang tinggal di Singapura kini 10 kali tidak berkemungkinan dijangkiti denggi buat kali pertama berbanding seorang individu di sini pada 1960-an.



Namun, Cik Fu berkata ini juga bermakna imuniti penduduk terhadap denggi juga kian berkurang.



Sementara teknologi Wolbachia kelihatan baik, beliau berkata ia bukan huraian segera dan sehenti untuk mengatasi masalah denggi.



Tambahnya, kesan teknologi itu hanya dapat dirasakan sepenuhnya apabila dilengkapi dengan usaha masyarakat yang sedia ada.



"Tanggungjawab dan tindakan individu serta masyarakat merupakan elemen paling penting dalam usaha kawal denggi," ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >