JUMLAH kes denggi secara mingguan kekal tinggi sedang negara menyambut tahun baru 2023, dengan 279 kes dilaporkan minggu lalu.
Ini hampir dua kali lebih tinggi berbanding bilangan kes yang dilaporkan pada tempoh yang sama tahun lalu.
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), dalam kenyataannya semalam memberi amaran bahawa jumlah kes denggi yang kekal tinggi pada awal tahun meningkatkan risiko lonjakan awal dalam jumlah kes pada bulan-bulan mendatang.
Ini boleh membawa kepada satu lagi wabak denggi di Singapura tahun ini.
Sehingga kelmarin, terdapat 82 kelompok denggi aktif, dengan 13 kelompok besar, iaitu yang mengandungi 10 atau lebih kes denggi.
Denggi virus serotip 3 (DENV-3) kekal sebagai jenis utama yang merebak di serata Singapura.
Imuniti penduduk Singapura terhadap DENV-3 adalah rendah, justeru lebih ramai orang lebih mudah terkena jangkitan jenis ini.
NEA berkata jenis tersebut dikesan di 11 daripada 13 kelompok denggi besar.
Denggi merebak secara cepat di kawasan seperti Hougang Avenue 1 dengan 81 kes; Lorong 4 Toa Payoh dengan 46 kes; dan Hougang Avenue 6 yang mencatat 34 kes.
Bulan lalu, jumlah nyamuk Aedes aegypti kekal tinggi di Singapura, dan kira-kira 24 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Jumlah tinggi itu, jika digabung dengan penularan serotip DENV-3, memerlukan tindakan kolektif segera untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk dengan membuang air bertakung, kata NEA.
Habitat pembiakan nyamuk Aedes yang paling biasa ditemui di rumah tahun lalu adalah bekas yang terdapat di rumah, dulang pasu bunga, dan bekas hiasan seperti pasu.
"Sedang musim perayaan Tahun Baru Cina semakin hampir, rumah dan premis lain dihiasi dengan lebih banyak tumbuh-tumbuhan sebagai hiasan.
"Menjangkakan ini, NEA telah meningkatkan pemeriksaan di semua tapak semaian tumbuh-tumbuhan," kata NEA.
Dalam pada itu, ia juga telah melancarkan kempen awam dan mengagihkan satu pakej pencegahan denggi sempena musim perayaan kepada tapak semaian tumbuh-tumbuhan.
Ini termasuk paket merah dan poster yang mengandungi mesej pencegahan denggi, untuk mengingatkan penjual dan pembeli agar berhati-hati dan mencegah pembiakan nyamuk.
Orang ramai yang mempunyai tumbuh-tumbuhan di rumah dan di premis mereka digesa menjaganya daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk.
Mereka harus memastikan air tidak bertakung di alas pasu bunga atau di atas sebarang tanah yang sudah keras.
Orang ramai harus kekal berwaspada terhadap ancaman denggi yang berterusan dan membantu mencegah peningkatan awal dalam jumlah kes denggi, katanya.