Kes dera pembantu rumah Myanmar: Pemerintah akan semak 3 perkara bagi elak kejadian berulang , Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:43
Syuruk
7:01
Zuhur
1:06
Asar
4:19
Maghrib
7:11
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Setempat0

Kes dera pembantu rumah Myanmar: Pemerintah akan semak 3 perkara bagi elak kejadian berulang

Feb 25, 2021 | 04:41 PM

PEMERINTAH sedang menyemak tiga perkara utama bagi memastikan kejadian penderaan pembantu rumah asing sebagaimana yang dilalui pembantu Myanmar, Cik Piang Ngaih Don, tidak berlaku dan berulang lagi.

Mengulas isu ini kepada media dalam satu wawancara maya pada Khamis (25 Februari), Menteri Tenaga Manusia, Cik Josephine Teo, berkata, tiga bidang yang sedang ditinjau termasuk pelindungan pembantu terhadap majikan yang mendera, sistem laporan buat doktor dan penglibatan masyarakat dan pertubuhan kerjasama.

"Biar saya menyampaikannya dengan jelas. Tiada tempat buat penderaan terhadap pembantu rumah asing di Singapura. Tiada tempat untuk perilaku sebegini," tegas Cik Teo.

Cik Teo, yang juga Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, berkata:

"Pemerintah Singapura mengambil serius keselamatan semua pembantu rumah asing yang bertugas di sini."

Berita Popular

Beliau menambah, meskipun wujud langkah pelindungan pembantu rumah di sini, Singapura, sebagai sebuah masyarakat, harus berusaha lebih baik lagi dalam perihal ini.

"Kita menghargai ramai pembantu rumah asing yang datang ke Singapura bagi membantu kita menjaga keluarga kita. Kita juga mengiktiraf pengorbanan mereka dan kita bersungguh-sungguh ingin menamatkan apa jua bentuk penderaan terhadap mereka dan memastikan keselamatan mereka," katanya lagi.

Cik Piang berusia 24 tahun apabila beliau meninggal dunia pada 26 Julai 2016.

Berat badannya hanya 24 kilogram pada waktu itu setelah beliau kehilangan 38 peratus daripada berat badannya sejak bertugas di Singapura pada 28 Mei 2015.

Pada Selasa, majikan Singapura Cik Piang, Gaiyathiri Murugayan, 40 tahun, isteri pegawai polis Kevin Chelvam, 41 tahun, mengaku membiarkan Cik Piang kelaparan, menderanya dan seterusnya membunuhnya.

Chelvam pula digantung daripada tugasnya pada 8 Ogos 2016 dan menghadapi pelbagai tuduhan berkaitan penderaan dan kematian Cik Piang.

Ibu Gaiyathiri yang menetap dengan pasangan itu didakwa pada 2016.

Kes-kes ini masih dibicarakan.

Cik Piang diperiksa doktor dua kali dalam tempoh khidmatnya di sini. Agensi pembantu rumahnya juga berbual dengannya sebanyak dua kali tetapi tidak mengesan sebarang kemurungan.

Ditanya jika sebarang tindakan akan diambil terhadap doktor yang kali terakhir memeriksa Cik Piang atau orang lain yang mengetahui tentang penderaan itu seperti dua orang lain yang menetap bersama pasangan itu dan ibu mereka, Menteri Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, yang juga mengulas isu itu secara maya, berkata sukar memberi jawapannya kerana kes itu masih dibicarakan.

"Hal itu semua sudah ditinjau tetapi saya fikir kita harus berhati-hati dalam mengulas mengenainya sehingga tiga kes ini sudah selesai dibicarakan.," katanya.

Encik Shanmugam, bagaimanapun berkata, walau apa pun keputusan kes jenayah terhadap Chelvam, pegawai polis itu tetap akan berdepan dengan tindakan disiplin dalaman oleh polis selepas perbicaraan kes jenayah itu tamat.

"Apa jua keputusan perbicaraan jenayah ini, kalau pun dia dibebaskan daripada tuduhan, dia tetap akan berdepan dengan tindakan disiplin," ujar Encik Shanmugam yang menyifatkan penderaan terhadap Cik Piang sebagai "kejam" dan harus ditangani tegas secara undang-undang.

"Perkara yang ingin saya tekankan ialah orang yang nampak biasa sahaja boleh melakukan sesuatu yang sangat kejam, dan terdapat dua tiang pegangan yang boleh menjadi sandaran mana-mana masyarakat bagi memastikan kekejaman ini dapat dipantau. Satu adalah pendidikan. Kedua, kita memerlukan undang-undang yang memastikan kekejaman sebegini dipantau. Undang-undang harus menangani perkara ini sepenuhnya apabila peraturan dilanggar," tambah beliau lagi.

 

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map