Kes dera sampai mati pembantu rumah Myanmar: Hukuman penjara 30 tahun bagi suri rumah , Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:45
Syuruk
7:06
Zuhur
1:13
Asar
4:34
Maghrib
7:17
Isyak
8:29
Suatu Ketika di Singapura

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat0

Kes dera sampai mati pembantu rumah Myanmar: Hukuman penjara 30 tahun bagi suri rumah

Jun 22, 2021 | 04:10 PM

SEORANG suri rumah 41 tahun yang mendera dan membiarkan pembantu rumah Myanmar kebuluran sehingga menyebabkan kematiannya dihukum penjara 30 tahun pada Selasa (22 Jun).

Gaiyathiri Murugayan hanya memandang ke depan tanpa ekspresi tergambar pada raut wajahnya apabila hukuman dibacakan.

Dalam menghukumnya, hakim Mahkamah Tinggi, See Kee Onn, berkata: "Kata-kata tidak dapat menjelaskan kekejaman yang keji ke atas sikap dahsyat yang tertuduh."

Beliau menganggap kes ini sebagai "antara yang paling teruk dalam kalangan kes homisid salah" sambil mengatakan mangsa dibiarkan menderita lama dek penyeksaan yang menyakiti itu sebelum meninggal dunia.

Hakim juga mengatakan sedang hukuman itu harus "memberi isyarat ledakan kemarahan dan kebencian masyarakat", kenyataan bahawa Gaiyathiri mengalami kondisi psikiatrik yang menjejas penilaiannya tidak boleh diketepikan.  

Halal Home-based Businesses
We want to help Halal Home-based Business owners during these tough times. See the link below.
Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

Encik See menambah, Gaiyathiri mempunyai empat pembantu rumah sebelum ini yang tidak membuat laporan ke atasnya dan ini menunjukkan dia bukan seseorang yang mempunyai penyakit yang membawa pada sikap ganas.

Gaiyathiri mengaku bersalah pada Februari di atas 28 tuduhan. Yang paling serius adalah homisid salah di mana pendakwa memohon hukuman maksimum penjara seumur hidup. 

Tuduhan lain kebanyakannya berkait dengan perbuatan mencederakan pada pelbagai tahap penderaan terhadap Cik Piang Ngaih Don, 24 tahun, yang mempunyai berat badan 24 kilogram sahaja ketika meninggal dunia pada 26 Julai 2016, kesan daripada serangan terakhir.

Lagi 87 tuduhan dipertimbangkan.

Dalam perbicaraan Selasa, peguambela, Joseph Chen, yang mengambil-alih kes ini daripada peguam Gaiyathiri terdahulu sekitar Mac, memohon hukuman penjara antara lapan hingga sembilan tahun.

Encik Chen memberi gambaran anak guamnya mempunyai penyakit mental, baru bersalin dan cuba menyesuaikan dirinya dalam keadaan anak-anaknya sakit yang dipercayai berpunca daripada pembantu rumah yang pengotor.

Gaiyathiri, yang mempunyai dua anak kini berusia sembilan dan enam tahun, didapati mempunyai kemurungan yang teruk apabila hamil dengan anak kedua. Dia juga mempunyai kecelaruan obsesif kompulsif (OCD).

"Gabungan faktor yang menimbulkan tekanan ini menjadikannya berubah daripada seseorang yang bukan pendera kepada pendera pembantu rumah. Dia kini kembali pada keadaannya yang tidak mendera pembantu rumah," kata Encik Chen.

Beliau meminta mahkamah memberi anak guamnya hukuman yang lebih condong pada pemulihan agar wujud kesan penawar buatnya dan ibu-ibu lain yang mengalami kemurungan sesudah bersalin.

Encik Chen menambah anak guamnya menyesali perbuatannya dan kesali keadaan Cik Piang yang tidak dapat dibantu. Beliau juga meminta agar perintah merahsiakan nama anak guamnya itu dilaksanakan bagi melindungi anak-anaknya agar tidak dicap sebagai anak pendera di luar.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir menyelar pihak pembela dengan mengatakan:

"Keadaan mental seseorang bukan pas percuma (untuk bebas daripada dihukum sewajarnya)."

Beliau menambah keadaan Gaiyathiri adalah sebab dakwaan membunuh Cik Piang diubah daripada pembunuhan kepada penderaan.

"Ini adalah kes mengejutkan tanpa ada kes lain seperti ini," jelas DPP Faizal sambil menganggap tindak-tanduk Gaiyathiri sebagai sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan. 

Beliau tidak senang dengan cara Gaiyathiri cuba menyalahkan tahap kebersihan Cik Piang apabila kebanyakan kesalahannya tiada kaitan dengan kebersihan.

"Keganasan adalah sesuatu yang dilakukan tertuduh dengan melihat mangsa ibarat bukan sebagai manusia," jelas DPP Faizal lagi yang meminta sekurang-kurangnya penjara 27 tahun dikenakan ke atasnya, jika penjara seumur hidup tidak diberikan kepadanya.

Cik Piang yang mula bekerja bagi keluarga itu pada 28 Mei, 2015, diserang hampir setiap hari bagi berbulan lamanya.

Kejadian pada bulan terakhir di saat-saat penghujung hayatnya dirakam dalam kamera pengawasan yang Gaiyathiri dan bekas suaminya, Kevin Chelvam, seorang pegawai polis, pasang di flat mereka di Bishan.

Pasangan ini disahkan bercerai pada 13 Januari tahun lalu.

Keratan klip kamera itu menunjukkan Gaiyathiri menuang air sejuk pada pembantu rumahnya, menampar, menolak, menumbuk, menendang dan memijaknya.

Dia juga memukul pembantu itu dengan barangan, menarik rambutnya dan menggoyangkan tubuhnya secara kasar serta membakar pembantu itu dengan seterika panas serta mencekiknya.

Makanan pembantu rumah itu yang merupakan kepingan roti direndam dalam air, makanan sejuk yang diambil dari peti sejuk atau nasi semalaman.

Dia juga disuruh mandi dengan pintu tandas terbuka.

Pada 12 hari terakhir hayatnya, pembantu rumah itu diikat pada jeriji tingkap pada waktu malam sambil tidur di atas lantai.

Chelvam, 42 tahun, yang digantung dari tugasnya pada 8 Ogos 2016 berdepan dengan pelbagai tuduhan berkait dengan penderaan Cik Piang. Ibu Gaiyathiri, Prema S. Naraynasamy, 62 tahun, yang sering tinggal bersama pasangan itu juga didakwa pada 2016.

Kes kedua-duanya masih menanti dibicarakan.

Pada malam 25 Julai, 2016, pembantu rumah itu diserang Gaiyathiri dan Prema kerana dianggap terlalu lembab membereskan basuhan pakaian.

Gaiyathiri terus menyerang pembantu rumah itu keesokan harinya dan mencekiknya. Beberapa jam selepas itu, doktor mengesahkan pembantu rumah itu mati di flat berkenaan.

Dalam kehangatan kes tersebut, pemerintah menyemak tiga bidang utama bagi memastikan perlindungan pembantu rumah terjaga dengan lebih baik lagi.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) memulakan skim lawatan ke rumah pada 5 April bagi memastikan kebajikan pembantu rumah terjaga.

 

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map