Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kes kemalangan di Lucky Plaza: Pemandu dijel 2 tahun 6 bulan

Sep 24, 2021 | 05:48 PM



SEORANG lelaki yang terlibat dalam nahas rempuhan di Lucky Plaza pada 2019 yang membunuh dua wanita mengaku bersalah di atas satu tuduhan memandu secara berbahaya dan dihukum penjara dua tahun dan enam bulan pada Jumaat (24 September).



Dia juga tidak lagi dibenarkan memandu semua jenis kenderaan bagi tempoh 10 tahun.



Dua kesalahan memandu secara berbahaya melibatkan empat lagi wanita yang terselamat daripada rempuhan tersebut dipertimbangkan dalam menjatuhkan hukuman.



Tidak lama sebelum tragedi ini, enam wanita Filipina berhimpun sepanjang laluan pejalan kaki di Nutmeg Road berhampiran pusat beli-belah Lucky Plaza di Orchard Road pada hari cuti mereka sekitar 4.40 petang, 29 Disember 2019.



Pemandu warga Malaysia, Chong Kim Hoe, kini 66 tahun, bekerja sebagai pemandu kereta sewa privet. Mahkamah diberitahu dia mempunyai sejarah mengabaikan isyarat lampu merah di jalanan.



Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Samyata Ravindran berkata sebelum kejadian itu, Penduduk Tetap Singapura itu telah memberhentikan keretanya di Nutmeg Road untuk menghisap rokok selepas menurunkan penumpang.



Dia kemudian menerima tempahan bagi mengambil seorang lagi penumpang sekitar Orchard Road.



Kata DPP Samyata lagi: "Kerana ingin segera mendapatkan penumpang selanjutnya, dia membuat belok 'U-turn' yang melanggar undang-undang di simpang Jalan Kayu Manis. Sedang dia berbuat demikian, dia menyedari bahagian belakang keretanya ternaik ke atas bebendul jalan sekitar Jalan Kayu Manis.



"Yang tertuduh berhasrat untuk menekan brek agar dia dapat mengundurkan keretanya dan memastikan terdapat ruang secukupnya bagi dia membuat belok 'U-turn'."



Sebaliknya, Chong memijak pecutan kereta dengan kenderaannya itu ternaik pada laluan pejalan kaki di Nutmeg Road.



Kereta itu gagal untuk berhenti walaupun selepas ternaik di atas bebendul jalan. Ia kemudian memecut ke arah lelapang berumput itu dan merempuh ke arah enam wanita di situ.



Cik Abigail Danao Leste, 41 tahun, dan Cik Arlyn Picar Nucos, 50 tahun, meninggal akibat nahas itu. 



Cik Egnal Layugan Limbauan dan Cik Laila Flores Laudencia, kedua-duanya 43 tahun, serta Cik Arceli Picar Nucos, 56 tahun, mengalami cedera parah termasuk keretakan tulang. Setiap wanita ini diberi cuti hospital antara 23 dengan 369 hari.



Cik Demet Limbauan Limbauan, 37 tahun, yang mengalami beberapa kecederaan ringan pula diberi cuti hospital selama 12 hari.



Kesemua daripada mereka merupakan pembantu rumah.



Pada Jumaat, DPP Samyata menggesa mahkamah memberi hukuman penjara antara dua hingga tiga tahun dan tidak mengizin Chong memandu semua jenis kenderaan selama 10 tahun.



Katanya: "Hukuman yang dikenakan ini harus disejajarkan dengan kesan kecederaan yang mangsa alami."



Peguambela, Encik Kalaithasan Karuppaya dari firma guaman Regent Law pula meminta hukuman lebih ringan.



Katanya: "Kami juga menekankan sekali lagi bahawa yang tertuduh tidak melarikan diri selepas kejadian itu. Dia bertanggungjawab dan membantu mangsa sebaik yang termampu."



Menyusuli kejadian itu, lebih $360,000 dikumpulkan buat mangsa dalam satu kempen mengumpul dana dalam talian yang ditutup pada 6 Januari tahun lalu.



Seorang pesalah yang dituduh menyebabkan kematian kerana memandu secara berbahaya boleh dipenjara hingga lapan tahun.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >