BAPA pasangan kembar lelaki berusia 11 tahun yang ditemui mati di longkang besar di Upper Bukit Timah telah didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh.
Pada Isnin (24 Januari), Xavier Yap Jung Houn, 48 tahun, tampil di mahkamah daerah menerusi pautan video apabila tuduhan dibacakan kepadanya.
Dia dituduh membunuh Ethan Yap E Chern di longkang besar tertutup di taman permainan Greenridge Crescent pada Jumaat (21 Januari) antara 4.23 petang hingga 6.25 petang.
Yap memakai kemeja-t polo putih dan pelitup pakai buang biru dengan rambutnya disikat ke belakang sedang dia mendengar tuduhan dibacakan tanpa menunjukkan sebarang ekspresi pada raut wajahnya.
Pendakwa polis meminta Yap agar ditahan selama seminggu dengan kebenaran dibawa keluar untuk siasatan termasuk kunjungan ke tempat kejadian.
Hanya satu tuduhan dikemukakan di mahkamah pada pagi Isnin.
Kesalahan membunuh membawa pada hukuman mati.
Peguam Yap, Encik Anil Singh Sandhu, memberitahu mahkamah bahawa keluarga ini sedang meratap pemergian dua kanak-kanak.
Katanya: "Media hadir di mahkamah pagi ini dan mangsa merupakan dua kanak-kanak berusia 11 tahun. Sejak beberapa hari lalu, media agak aktif dalam melaporkan perkara ini tetapi saya seikhlasnya menggesa media agar memberi sedikit ruang dan privasi buat keluarga ini menangani kehilangan dua kanak-kanak kecil."
Pada Sabtu, polis berkata ia menerima panggilan sekitar 6.25 petang pada Jumaat daripada seorang lelaki yang meminta bantuan di taman permainan.
Apabila pegawai polis sampai, kedua-dua anak lelaki berkenaan ditemui tidak sedarkan diri berhampiran dengannya. Mereka disahkan mati di tempat kejadian oleh paramedik.
Dipercayai mayat kedua-duanya ditemui di dalam longkang besar dan dalam yang berada di tengah-tengah taman permainan di satu sudut estet perumahan privet rumah teres dan sebandung yang sunyi dan menghijau.
Apabila akhbar The Straits Times tiba di tempat kejadian pada tengah hari Sabtu, pegawai daripada kontinjen Gurkha ditemui berjalan di kawasan longkang besar, dengan sebahagiannya dipenuhi kusyen. Mereka sedang merentasi kawasan hutan di belakang taman permainan.
Kembar yang dimaksudkan, Ethan dan Ashton, dikatakan merupakan individu berkeperluan khas dan dipercayai adalah pelajar di sekolah sekitar kawasan estet Eng Kong.
Kes Yap akan disebut lagi di mahkamah pada 31 Januari.