Kes pecah amanah bekas HOD: DPP minta sekurang-kurangnya penjara 2 tahun, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:43
Syuruk
7:01
Zuhur
1:06
Asar
4:19
Maghrib
7:11
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Setempat0

Kes pecah amanah bekas HOD: DPP minta sekurang-kurangnya penjara 2 tahun

Feb 24, 2021 | 09:39 PM

DALAM sesi perbicaraan pada Rabu (24 Februari), pihak pendakwa dengan tegas meminta agar bekas Ketua Jabatan (HOD) Bahasa Inggeris dan Sastera di Sekolah Menengah Woodgrove dipenjara sekurang-kurangnya dua tahun kerana menyalahgunakan wang lebih $40,000. 

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Stephanie Chew memberitahu mahkamah daerah bahawa Maslinda Zainal, kini 46 tahun, telah menyalahgunakan kepercayaan yang diberikan kepadanya dengan kesalahannya itu didorong rasa tamak, lapor The Straits Times.

Maslinda dilantik sebagai HOD pada 2006, empat tahun selepas menyertai sekolah itu. Dia kemudian menyimpan sebahagian wang yang diberi pelajar kepada guru bahasa Inggeris mereka buat kegunaan peribadinya. Walhal, wang itu sepatutnya digunakan bagi membeli bahan pembelajaran yang dikenali sebagai pakej Excel.

Maslinda didapati bersalah atas dua kesalahan pecah amanah pada 11 Januari.

Peguamnya, Encik Singa Retnam, telah memohon agar anak guamnya diberi hukuman yang tidak meremukkan kehidupannya sambil menambah, Maslinda adalah guru cemerlang yang telah menerima beberapa anugerah termasuk khidmat cemerlang pada 2011.

Berita Popular

Sebagai HOD, Maslinda ditugaskan mengumpul wang yang pelajar beri kepada guru bahasa Inggeris mereka. Dia juga berurusan dengan kedai buku yang mencetak pakej sumber pembelajaran tersebut.

"Yang didakwa adalah satu-satunya yang tahu terdapat wang tambahan yang dikumpulkan daripada pelajar - dan harga yang ditetapkan kedai buku ini jauh lebih rendah daripada jumlah wang yang dikumpulkan daripada pelajar," kata DPP Chew dan DPP David Koh sewaktu perbicaraan bulan lalu. 

Maslinda diserahkan dengan hampir $35,000 pada 2016 dan lebih $36,000 pada tahun yang menyusul.

Bagaimanapun, Maslinda membayar pengendali kedai buku, Cik Cheng Bee Lian, sekitar $13,000 pada 2016 dan $17,000 pada 2017,  jumlah yang tertera pada invois.

Guru yang telah diberhentikan daripada sekolah itu kemudian menyalahgunakan baki wang yang tinggal dengan mengambil lebih $21,000 pada 2016 dan hampir $20,000 pada 2017.

Kesalahannya hanya diketahui apabila ketua subjek di sekolah itu, Cik Jacqueline Chan, mendapati ada kiraan yang tidak kena pada jumlah yang dikumpulkan Jabatan Bahasa Inggeris dengan yang dibayar sebagaimana tertera dalam invois kedai buku itu.

Maslinda akan dijatuhkan hukuman pada 5 Mac.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map