Subuh
5:43
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:36
Maghrib
7:17
Isyak
8:31
Setempat

Kes pelajar tahfiz S'pura di Selangor dakwa ditampar: Ustaz dipecat

Mar 07, 2020 | 05:30 AM

NIAT Cik Noridayu Zainuddin menghantar anaknya ke pusat tahfiz di Malaysia awal tahun ini adalah supaya remaja itu dapat membesar dengan pendidikan ukhrawi dan sekitaran yang sihat.

Namun kurang tiga bulan menuntut di Maahad Tahfiz Wattarbiyah di Selangor, anaknya Mohamad Imann Jusri, 14 tahun, sudah merayu untuk dibawa pulang ke Singapura.

Malah Cik Noridayu bertemu anaknya dengan mata yang bengkak.

Ketika ditemui Berita Harian (BH), Cik Noridayu, 40 tahun, mendakwa anaknya ditampar seorang ustaz di pipi kirinya menggunakan selipar kulit bergancu (buckle).

Ini diakui sendiri oleh Imann, yang kini dirawat di Hospital Kanak-Kanak dan Wanita KK (KKH) kerana mengalami keretakan tulang yang mengelilingi mata kirinya, darah beku dan nanah.

Menurut KKH, Imann menjalani pembedahan beberapa hari setelah dimasukkan ke hospital, dan KKH tidak dapat mengaitkan secara langsung punca keadaannya kini dengan kecederaan tersebut.

Apabila dihubungi BH, pengetua pusat tahfiz itu, Ustaz Abdul Hakim Afandi, 50 tahun, pula mendakwa selipar yang digunakan adalah selipar getah bersih tanpa gancu.

BH dimaklumkan bahawa ustaz yang dimaksudkan itu sudah dipecat, tetapi pihaknya sedang meneruskan siasatan untuk menentu punca kecederaan yang dialami Imann.

Kata beliau: "Ini merupakan kali pertama berlakunya ustaz melempang anak murid menggunakan selipar. Selalunya hukuman bagi pelajar yang tidak menghafal, ialah memukul perlahan di tangan atau solat sunat 20 rakaat. Melempang pelajar tidak dibenarkan."

Menurut Ustaz Abdul Hakim, enam hari selepas kejadian itu, Imann kelihatan seperti biasa, malahan aktif bersukan, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah itu.

Namun, beliau berkata, rakaman CCTV insiden berkenaan telah terpadam secara automatik.

Cik Noridayu berkata beliau telah membuat laporan polis di Singapura.

Apabila dihubungi BH, polis mengesahkan bahawa mereka telah menerima laporan itu.

Namun Cik Noridayu berkata bahawa polis Singapura tidak akan ambil tindakan lanjut kerana kejadian itu berlaku di luar Singapura.

Menambah, Cik Noridayu berkata beliau merancang untuk ke Malaysia Isnin ini untuk membuat laporan polis dan meminta bantuan peguam.

"Saya tak nak orang mempunyai fikiran pusat tahfiz kasar, tapi niat saya menceritakan hal ini kerana saya percaya pendidik patut tahu apa yang betul dan salah... anda tak patut sentuh muka seseorang," kata Cik Noridayu, yang bekerja sebagai pegawai keselamatan dan tidak dapat menahan sebak ketika ditemu bual BH.

Menceritakan lanjut, Imann berkata beliau ditampar dengan selipar sebagai hukuman kerana bergaduh dengan rakannya.

Imann, yang dimasukkan ke hospital pada 29 Februari lalu, dan sebelum ini berada dalam keadaan kritikal, menceritakan bahawa sehari sebelum insiden itu, rakannya telah membuat komen menyakitkan hati mengenai ibunya.

Meskipun ia mengguris hatinya memandangkan ibunya pernah mengalami serangan jantung, dibedah, dan kini mempunyai ketumbuhan, Imann mendiamkan diri.

Keesokan hari, rakannya itu membuat komen mengenai ibunya lagi, dan mereka berdua bergaduh.

Menurut Imann, menerima hukuman sesuatu yang biasa berlaku di pusat itu, yang adakalanya menggunakan rotan dan melempar botol.

Cik Noridayu akur bahawa hukuman kadangkala perlu dijalankan, namun beliau tidak bersetuju dengan cara hukuman itu dijalankan.

"Bila pihak mereka berkata perkara sebegini juga berlaku kepada pelajar lain, saya terperanjat. Kalau saya tahu, saya tak akan letak anak saya di situ," ujarnya yang menambah bahawa Imann sendiri yang secara sukarela meminta mahu menuntut di pusat tahfiz itu setelah satu percubaan Oktober lalu.

Menurut ibunya, semasa di sekolah menengah di sini, Imann terpengaruh dengan teman-teman dan adakalanya ponteng sekolah.

Sejauh ini, Cik Noridayu kata kos perubatan mencecah sekitar $13,000.

Ustaz Abdul Hakim berkata pihaknya bersedia untuk berbincang mengenai kos perubatan Imann.

"Kami akan membantu dalam pengurusan kos perubatan. Namun kami akan menyiasat terlebih dahulu, apakah punca sebenar kecederaan Imann," katanya.

KKH sedang memberikan semua sokongan yang diperlukan ke Imann dan keluarganya. Menurut KKH lagi, bil hospital belum muktamad kerana pesakit layak untuk subsidi pemerintah dan KKH sedang membantu keluarga dalam mengurangkan perbelanjaan yang perlu mereka keluarkan.- LAPORAN TAMBAHAN OLEH SHAHIDA SARHID.

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian