Subuh
5:43
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:36
Maghrib
7:17
Isyak
8:31
Setempat

Kes serang pemandu teksi: Keluarga pemandu terkejut, harap ada saksi tampil

Feb 22, 2020 | 12:11 PM

 

ANAK pemandu teksi yang diserang dalam satu percubaan rompakan di Hougang pada awal pagi Khamis (20 Februari) berkata keluarganya amat terkejut dengan kejadian malang yang menimpa bapa mereka, dan memohon agar sesiapa yang menyaksikan kejadian itu dapat tampil membantu dalam siasatan polis.

Bercakap dengan Berita Harian semalam (21 Feb), anak pemandu teksi itu, Encik Muhammad Taufiq Ramdan, menambah bahawa keadaan bapanya, Encik Ramdan Simin, juga beransur pulih kini dan beliau telah keluar hospital.

“Alhamdulillah keadaan papa lebih baik. Papa tak boleh bangun sangat sebab tulang rusuk bahagian kirinya sakit disebabkan keretakan,” kata pegawai polis auksiliari bersama Aetos Holdings yang berusia 24 tahun itu.

Dalam satu catatan Facebook pada Khamis, Encik Taufiq, menceritakan bapanya, seorang pemandu teksi bersama syarikat Premier Taxis yang berusia 54 tahun, diserang oleh seorang lelaki berusia 30-an tahun.

Bapanya mengambil penumpang itu di perhentian teksi di Pusat Pertukaran Bas Hougang Central.

Lelaki itu pada mulanya berkata beliau mahu ke kasino di Marina Bay tetapi kemudian memberi arahan mendadak untuk berhenti di sebuah perhentian bas, juga di Hougang.

Penumpang itu dituduh mencekik bapanya dari belakang kerusi pemandu dan menumbuk mukanya beberapa kali sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.

Encik Ramdan telah menghubungi polis sendiri, yang tiba di tempat kejadian dalam sekitar 10 minit.

Beliau kemudian dihantar ke Hospital Besar Sengkang dan dilaporkan mengalami keretakan di hidung dan tulang rusuk.

Encik Taufiq berkata ini merupakan kejadian serangan pertama yang dialami bapanya, yang sudah bekerja sebagai pemandu selama 15 tahun.

Walaupun lelaki itu cuba mencari barang berharga, beliau berkata bapanya tidak kehilangan sebarang wang atau dompetnya kerana kesemua barangan itu disimpan dalam satu kompartmen di dalam teksi.

Mengimbas kembali, Encik Taufiq berkata beliau dikejutkan ibunya pada sekitar lima pagi kelmarin yang memberitahunya tentang apa yang berlaku.

“Perkara pertama yang saya fikirkan ialah papa saya kena tikam kerana kalau kejadian rompakan, sejauh mana dalam pengalaman saya berkhidmat dalam kumpulan seragam, selalunya libatkan senjata.

“Apabila saya terfikir sama ada papa kena tikam dengan pisau, fikiran saya dah menggila dan bercelaru,” kata beliau, yang bergegas ke hospital bersama ibu dan pakciknya.

Sejurus dapat melihat bapanya di hospital, Encik Taufiq berkata beliau menitiskan air mata.

“Dalam pekerjaan saya, memang saya perlu berdepan dengan penjenayah. Tapi bila dah terkena pada keluarga sendiri, kami macam tak percaya dan sedih ia berlaku.

“Saya tengok matanya (papa) lebam, perasaan saya bercampur geram dan sedih,” kata anak kedua dalam tiga beradik lelaki itu.

Encik Taufiq berkata terdapat kamera di dalam teksi bapanya tetapi lensa kamera itu merakam jalan raya dan keadaan di sekitar luar teksi.

Tambahnya, beliau dan keluarganya belum melihat sebarang rakaman daripada kamera itu kerana ia kini di tangan polis dan mereka tidak pasti jika lelaki yang menyerang bapanya itu ditangkap dalam rakaman.

Keluarganya juga merayu agar saksi yang melihat kejadian itu dapat tampil membantu dalam siasatan polis.

“Papa saya jenis yang kerja keras. Setiap hari dia mula bekerja pada 9 atau 10 pagi dan memandu sampai sekitar 5.30 pagi… Sebab itu, bila terkena macam ini, saya rasa marah," ujarnya.

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian