LIMA lelaki yang terlibat dalam insiden serangan bersenjatakan pedang samurai dan pisau dapur sehingga menyebabkan mangsa cedera parah di Serangoon Road pada Rabu lalu telah didakwa di mahkamah semalam.
Mereka ialah Victor Alexander Arumugam, 24 tahun, Arjun Retnavelu, 23 tahun, Haresh Shanmuganathan, 22 tahun, Dinesh Kumar Ruvy, 28 tahun dan Sharvin Raj Suraj, 17 tahun.
Mangsa, seorang lelaki, diserang di depan Hotel Broadway di Serangoon Road, lapor akhbar The Straits Times.
Penyerang kemudian melarikan diri dengan menaiki kereta sewa, meninggalkan mangsa terbaring di simpang jalan Serangoon Road.
Polis berkata, mereka dimaklumkan tentang kes tersebut pada 2.20 petang Rabu lalu.
Mangsa, Encik Dhines Selvajah, 26 tahun, berada dalam keadaan sedar sewaktu dihantar ke Hospital Tan Tock Seng.
Kecederaannya termasuk luka di bahagian belakang kepala, lengan dan kakinya.
Menyusuli serangan itu, penyerang telah mencampakkan pedang ke dalam Kolam Air Lower Pierce.
Senjata kedua - pisau dapur - dibiarkan di hadapan Hotel Broadway.
Menurut akhbar itu lagi, polis berjaya menangkap tujuh orang di sekitar Corporation Road di Jurong West dan di Blok 26, Sin Ming Industrial Estate di daerah Thomson Road tidak lama selepas serangan berlaku.
Lima didakwa di mahkamah semalam kini direman di Divisyen Polis Central sehingga 3 Ogos ini, manakala dua lagi suspek masih dalam siasatan.
Kelmarin, penyiasat polis membawa Arjun ke Kolam Air Lower Peirce untuk mendapatkan pedang tersebut.
Dua penyelam komersial dari Asia Dive Academy, Encik Ryan Phoa, 29 tahun, dan Encik Jacki Ng, 42 tahun, diminta membantu dalam pencarian pedang berkenaan.
Bagaimanapun, senjata tersebut gagal ditemui dan pencarian terpaksa dihentikan sekitar 6 petang.
Menurut Encik Ng, mereka menyelam kira-kira tiga meter namun jarak penglihatan agak buruk cuma sekitar 10 sentimer sahaja.
Air menjadi semakin keruh apabila keladak di dasar kolam terkocak.
Terdapat kemungkinan pedang jatuh ke dalam di dasar kolam penuh keladak itu.
Mengulas tentang kes serangan itu di Facebooknya, Menteri Undang-undang merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, berkata:
"Terdapat serangan yang dahsyat, di Serangoon Road. Di siang hari, di khalayak ramai. Lelaki menyerang dengan pisau, pedang.
"Polis menahan suspek dalam masa 18 jam.
"Polis telah menjalankan tugas yang amat baik kerana menemui mereka dengan begitu cepat.
"Pengajarannya ialah: Di Singapura, polis akan mencari suspek, dan mencari mereka secepatnya."
"Terdapat serangan yang dahsyat, di Serangoon Road. Di siang hari, di khalayak ramai. Lelaki menyerang dengan pisau, pedang. Polis menahan suspek dalam masa 18 jam. Polis telah menjalankan tugas yang amat baik kerana menemui dengan begitu cepat. Pengajarannya ialah: Di Singapura, polis akan mencari suspek, dan mencari mereka secepatnya."
- Menteri Undang-undang merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, dalam catatan Facebook.