LAGI sembilan orang dilaporkan jatuh sakit ekoran kes keracunan makanan melibatkan restoran Spize di River Valley Road.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang terjejas mencecah seramai 81 orang.
Antara mangsa ialah Allahyarham Mohamad Fadli Mohd Saleh, 38 tahun.
Allahyarham meninggal dunia Rabu lalu setelah berada dalam keadaan kritikal di Unit Jagaan Rapi (ICU) Hospital Besar Sengkang (SKGH).
Keluarga Allahyarham bagaimanapun enggan mengulas.
Dalam pada itu, lesen Spize cawangan River Valley Road telah digantung bagi melindungi pelanggan.
Difahamkan lesen cawangan Spize River Valley Road itu telah digantung oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) hingga notis selanjutnya. Kerja pembersihan kini dijalankan.
Berkaitan kejadian itu, pelanggan mempunyai reaksi berbeza. Rata-rata mereka melahirkan rasa kecewa atas apa yang berlaku.
Ramai turut berkata mereka kini lebih berhati-hati, malah berfikir dua kali sebelum mahu melanggani Spize.
Namun, ada segelintir pelanggan yang akan terus menyokong perniagaan tersebut.
Ketika dihubungi, Encik Muhammad Aziz Firdaus Abdullah, 26 tahun, berkata beliau terkejut mendapat tahu tentang kejadian itu.
Beliau hairan bagaimana masalah kebersihan itu boleh berlaku.
"Saya akan cuba mengelakkan cawangan itu (River Valley Road) tapi saya mungkin akan tetap ke cawangan Spize lain, namun dengan rasa lebih berhati-hati.
"Jika diberi pilihan makan di sana atau restoran lain, kemungkinan saya akan pergi ke tempat lain," ujar pegawai perkhidmatan awam itu.
Berkongsi pandangan serupa, pelanggan yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Fizah berkata beliau tidak akan makan di Spize buat masa ini.
"Sedih juga mendengar berita tersebut dan saya tak akan makan di sana buat sementara waktu.
"Mereka melanggar protokol keselematan kesihatan dan ini menunjukkan mereka tidak mengambil berat tentang isu kebersihan," katanya.
Seorang lagi pelanggan, Cik Farhana Begum, 21 tahun, kini takut hendak makan makanan Spize meskipun daripada cawangan lain.
"Saya rasa banyak lagi yang boleh mereka lakukan untuk membina imej jenama mereka semula untuk menarik orang ramai," katanya.
Menurut jurucakap Kementerian Kesihatan (MOH), hingga 5 petang kelmarin, sembilan orang masih dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil.
Lagi 37 orang pula sudah dibenarkan pulang setelah menerima rawatan.
Dalam laporan sebelum ini, pemilik Spize, Encik Haresh Sabnani, 40 tahun, ingin memberi jaminan kepada masyarakat bahawa pihaknya sudah mengambil semua langkah yang diperlukan untuk bekerjasama dengan MOH dan Penguasa Pertanian Makanan dan Ternakan (AVA) dalam siasatan serta menawarkan sebarang bantuan yang diperlukan.
BH cuba mendapatkan komen lanjut daripada Encik Haresh, namun tidak berhasil.