Kesan jagaan bersepadu masyarakat

Sokongan bersama SGO dan pegawai AIC ringankan beban keluarga

FARID HAMZAH

GARA-gara masalah kesihatan termasuk demensia, Cik Anthony Lily, 83 tahun pernah terjatuh semasa tinggal sendirian di rumahnya.
Ini membuat anak perempuannya, Cik Saraswathi Kandasamy, 64 tahun bimbang – terutamanya semasa ibunya itu sedang tidur di atas katil.
“Sebab katilnya ketika itu agak besar, tinggi dan beliau pula suka “bergolek” atas katil”, kata anaknya itu yang juga bertindak selaku pemberi jagaan kepada Cik Lily. Justeru itu, apabila sekumpulan Duta dari Pejabat Generasi Warga Emas (SGO) di bawah naungan Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) mengunjungi mereka pada tahun lalu, Cik Saraswathi berasa lega.
Sebabnya, mereka telah berjaya mendapatkan sebuah katil hospital yang berpalang di bahagian tepi sebagai langkah keselamatan untuk Cik Lily. Katil hospital yang telah diperbaharui itu diperolehi percuma sejak beberapa bulan lalu menerusi usahasama para pegawai SGO itu.
“Anak mana yang tidak bimbang bila ibunya terjatuh. 
“Untuk memburukkan lagi keadaan, ibu pula suka bergolek atas katil yang besar itu dan tanpa disedari boleh sebabkan beliau terjatuh,” kata Cik Saraswathi lagi yang perlu sentiasa memegang Cik Lily setiap kali ibunya itu hendak berjalan.
Padahal semasa muda, Cik Lily merupakan seorang yang aktif, bekerja sebagai penjaja menjual air minuman bersama mendiang suaminya, kata Cik Saraswathi.
Selain menghidap demensia, Cik Lily yang mempunyai sembilan anak, 16 cucu dan enam cicit turut menghidap penyakit kencing manis, masalah jantung selain tekanan darah dan kolesterol yang tinggi.
Mujur bagi Cik Lily, anak sulungnya itu bertindak sebagai penjaga sepenuh masa termasuk membersihkannya, memasakkannya selain menghantarnya ke klinik bagi rawatan dan pemeriksaan kesihatan.
“Saya juga mendapat bantuan dari beberapa adik saya yang sama-sama menghulurkan bantuan dalam bentuk kewangan dan sokongan sosial kepada saya,” jelasnya. 
Sebelum ini, flat empat bilik di Woodlands Circle itu, milik anak Cik Saraswathi, turut dilengkapi dengan rel pemegang yang dipasang di dinding tandas flat tersebut. 
Ini juga hasil bantuan para duta sukarelawan SGO yang membantu menghubungkan Cik Saraswathi dengan Program Penambahbaikan Kediaman bagi Warga Tua Aktif (EASE) oleh HDB.
Salah seorang daripada mereka, Cik Jessie Tay, 61 tahun yang telah menjadi SGO sejak 2014 berkata beliau menghabiskan masa sehingga empat hari (sekitar lima jam bagi setiap sesi) mengunjungi dan mendampingi penduduk lanjut usia di sekitar kawasan Woodlands, termasuk di Woodlands Circle.
“Apa yang saya lakukan hanyalah selaku sukarela memandangkan saya sendiri anggota Jawatankuasa Penduduk (RC) kawasan ini. 
“Bukan apa, sekurang-kurangnya dapat juga saya bertemu dan menjalin persahabatan dengan penduduk di sini – yang merupakan jiran seestet saya.
“Lagipun anak-anak saya sudah besar, dan cucu saya bersekolah pada sebelah siang, maka saya ingin isi masa lapang dengan kegiatan sebegini agar saya juga dapat pelajari sesuatu tentang isu penuaan dan cara mengatasi semua cabaran yang dialami golongan itu,” kata suri rumah yang tinggal dalam kawasan Woodlands Drive 70.
Ibu tiga anak dan mempunyai tiga cucu itu melahirkan rasa kasihannya apabila kali pertama mengunjungi keluarga Cik Saraswathi.
Menurutnya selepas mendapat berita tentang keluarga tersebut, beliau menghubungkannya dengan Rangkaian Masyarakat bagi Warga Emas (CNS) di bawah naungan Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC).
Rangkaian Masyarakat Untuk Warga Emas (CNS), Cik Nur Hidayah Sajali, 27 tahun berkata selepas menerima maklumat tentang masalah yang dihadapi seperti keluarga Cik Saraswathi, beliau dan rakan sepasukannya biasanya akan mengunjungi keluarga tersebut untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang latar belakang mereka, keperluan and bantuan yang mereka perlukan.
“Dalam hal ini, saya sendiri yang telah mengunjungi keluarga Cik Saraswathi untuk mengetahui dengan lebih lanjut apakah keperluannya dalam menjaga ibunya itu”.
“Saya dapat tahu Cik Lily sebelum ini tinggal sendirian di Tampines, sebelum dibawa untuk tinggal bersama anak sulungnya itu ke Woodlands Circle. 
“Beliau telah jatuh semasa tinggal seorang diri dan beberapa kali juga jatuh semasa berada di Woodlands Circle. 
“Selain tulangnya yang tidak kuat, Cik Lily juga mengalami demensia. 
“Selain rel pemegang di tandas bagi mengelak daripada terjatuh, Cik Saraswathi juga perlukan katil hospital agar mudah untuk beliau menukar lampin pakai buang untuk ibunya itu dan katil sedemikian juga mempunyai penghadang yang dapat elakkan warga emas seperti Cik Lily daripada terjatuh,” katanya.
Beliau juga telah mengatur seorang jururawat komuniti untuk melawat Cik Saraswathi dan ibunya.
Jururawat itu mengajar Cik Sarawathi bagaimana untuk menjaga ibunya dengan lebih baik, dan juga menjelaskan kepadanya mengenai tingkah laku ibunya akibat demensia. 
Dengan pengetahuan dan petua yang lebih baik dari seorang jururawat, Cik Sarawathi lebih yakin untuk menjaga ibunya.
Cik Saraswathi sangat berterima kasih atas bantuan yang diberikan oleh pegawai CNS. 
Selain mampu menjaga ibunya dengan lebih baik, dia kini tahu di mana untuk mendapatkan bantuan apabila diperlukan.

 

Lega tidak keseorangan dalam usaha menjaga ibu

SHAHIDA SARHID

DENGAN penuh kasih sayang, Encik Mohamed Hashik Hassan menyarungkan tudung di kepala ibu tersayang, Cik Rahmah Daud, 84 tahun.
Beliau kemudian memastikan ibunya duduk selesa di kerusi roda sebelum menolaknya di koridor flat mereka di Yishun, bagi sesi penggambaran.
Semenjak setahun lalu, Encik Hashik telah berhenti kerja demi menjaga ibunya yang mengidapi demensia.
Selain itu, ibunya juga mengalami masalah kesihatan lain seperti pernah mengalami angin ahmar, kencing manis, sakit jantung serta kerosakan pada ginjalnya.
Anak bongsu empat beradik, 43 tahun yang sudah bercerai ini mengambil keputusan untuk berhenti kerja kerana khuatir dengan keadaan ibunya.
“Pernah satu hari pertuturan ibu saya tiba-tiba tidak lancar tetapi beliau tetap enggan ke hospital.
“Tidak lama kemudian pertuturan semakin teruk sehingga beliau tidak boleh bangun dan mengangkat tangan kanannnya.
“Mujur beliau menelefon ambulan kerana ketika itu saya di tempat kerja. Doktor kata beliau diserang angin ahmar,” kongsinya apabila ditemui media baru-baru ini.
Menurut doktor ibunya telah mengidapi angin ahmar serta beberapa masalah kesihatan lain sejak 2015.
Tetapi sepanjang tiga tahun lalu, Cik Rahmah tidak mematuhi nasihat doktor memakan ubat yang disarankan secara tetap.
Ini yang membuat keadaannya semakin teruk.
“Doktor cakap kalau tiada yang menjaganya sepenuh masa, dan jika dia terus-menerus tidak memakan ubat tepat pada masanya, ia akan memburukkan lagi keadaan kesihatannya.
“Ini yang membulatkan tekad saya untuk menjaga ibu sepenuh masa,” katanya yang berhenti bekerja sebagai teknisyen penghawa dingin.
Namun menjadi penjaga utama kepada ibunya dan tidak meraih sebarang pendapatan bukanlah sesuatu yang mudah.
Pada awalnya, keadaan kewangan keluarganya amat ketat.
Encik Hashik telah memohon untuk mendapatkan bantuan daripada Pejabat Khidmat Sosial (SSO). Beliau mendapat $450 sekitar enam bulan dan ini beliau gunakan untuk membeli lampin ibunya dan makanan harian mereka.
“Memang tidak mencukupi. Jadi saya terus berusaha mencari bentuk bantuan lain,” ujarnya.
Mujur seorang pekerja sosial telah membimbingnya untuk menyerahkan laporan penilaian kesihatan ibunya kepada Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC).
Menurut pegawai sekutu jagaan AIC, Encik Kamaluddin Mahadi, 42 tahun berkata Encik Hashik telah menyerahkan laporan penilaian kesihatan Cik Rahmah kepada AIC.
“Beliau memberitahu kami bahawa beliau mengambil tindakan itu atas saranan pekerja sosialnya.
“Pihak kami kemudian mengadakan pertemuan susulan dengan pekerja sosial itu bagi mendapatkan dokumen yang diperlukan dan memproseskan permohonannya sebaik-baiknya,’’ kata Encik Kamaluddin.
Mengongsi juga tentang tanggungjawab yang perlu dilaksanakannya sebagai konsultan jagaan, beliau yang telah bekerja dengan AIC sejak 2010 berkata tugasnya adalah untuk menjelaskan kepada klien agar mereka memahami apakah skim yang dapat memanfaatkan mereka selain membantu mereka dalam aspek permohonan.
“Skim bantuan kewangan yang ditawarkan AIC mempunyai kriteria kelayakan untuk memastikan mereka yang dibantu benar-benar memerlukannya.
“Ada klien yang tidak layak juga cuba mendapatkan bantuan daripada kami.
“Saya selalunya perlu menjelaskan kepada mereka tujuan skim itu agar mereka lebih memahaminya serta merujukkan mereka kepada skim-skim lain,” katanya lagi.
Bagi Encik Hashik, ternyata skim yang disediakan memang telah banyak membantu meringankan beban yang dihadapinya.
Antara bantuan yang diterima Encik Hashik bagi membantu ibunya termasuk mendapatkan kerusi roda, kerusi roda untuk mandi serta pemegang dalam tandas untuk memudahkan ibunya (bar handle).
Tambahnya geran latihan penjaga (CTG) yang kini boleh dimohon juga meringankan tanggungan bebanan yang dihadapinya.
CTG memberikan subsidi sehingga $200 setiap tahun kewangan.
“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya boleh bernafas sedikit,” ujarnya lagi.
Bagi sesi pemulihan, ibunya telah ke Pusat Pemulihan dan Jagaan Adventist berdekatan dengan rumahnya, setiap hari.
Selepas subsidi, beliau hanya perlu membayar $3 sebulan.
“Seronoklah dapat berjumpa dengan kawan-kawan lain di situ. Walaupun banyak berbangsa Cina, tetapi mereka boleh cakap Melayu.
“Alhamdulillah, anak pun selalu ada untuk antar saya ulang-alik ke sana setiap hari,” kata Cik Rahmah.
Ketiadaan Cik Rahmah pada sebelah pagi itu sekurang-kurangnya memberi peluang kepada Encik Hashik untuk berehat dan melepaskan tekanan.
Beliau yang sering ke Masjid An-Nur berdekatan berkata, mengongsi masalah yang dihadapi dengan orang lain, banyak membantunya.
“Jika anda simpan dalam hati, ia akan membuat kita lebih tertekan. 
“Ada kalanya saya membincangkan situasi saya di masjid, ada juga bersama pegawai sosial yang datang ke rumah, ataupun saya hubungi talian bantuan.
“Jadi lebih baik, jika kita luahkannya kepada seseorang. Mereka yang mendengar ada kalanya memberi saranan tempat-tempat yang boleh dapatkan bantuan macam di AIC.
“Lebih penting, saya tahu saya tidak keseorangan dalam usaha saya menjadi penjaga utama kepada ibu saya yang sudah lanjut usia.,” kata Encik Hashik lagi.