Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SOROTAN ISU

'Kesedaran awam antara sebab jumlah kes dera kanak-kanak naik'

May 05, 2022 | 05:30 AM



Perangkaan penderaan dalam kalangan kanak-kanak kian meningkat dengan kadar yang agak membimbangkan. Tetapi para pakar yang ditemu ramah berkata perangkaan itu juga menunjukkan ada lebih banyak kesedaran dalam masyarakat mengenai isu penderaan dan ini dapat membantu mangsa dengan campur tangan awal yang diperlukan. BERITA HARIAN meninjau isu ini dengan lebih lanjut.



KENAIKAN pada kes penderaan baru-baru ini mungkin dilihat sebagai sesuatu yang membimbangkan tetapi beberapa pakar berkata antara faktor yang menyumbang kepada kenaikan ini ialah kesedaran awam yang kian meningkat terhadap keganasan keluarga.



Bercakap kepada Berita Harian, para pakar ini berkata kesedaran yang kian meningkat ini membantu dalam campur tangan awal sekali gus melindungi kanak-kanak tersebut sebelum penganiayaan menjadi lebih parah.



Bilangan kes penderaan kanak-kanak yang disiasat pihak berkuasa meningkat dengan mendadak tahun lalu.



Ini menyusuli peningkatan pada 2020, yang menyaksikan bilangan kes tertinggi dalam sedekad, menurut perangkaan yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).



Khidmat Perlindungan Kanak-Kanak MSF menyiasat 2,141 kes penderaan pada 2021, 63 peratus lebih banyak daripada 1,313 kes pada 2020.



Kes pengabaian sebanyak 910 kes, merangkumi kebanyakan kes yang disiasat pada 2021, dan memaparkan kenaikan paling ketara dari 2020, naik lebih dua kali ganda daripada 375 kes pada tahun itu.



Kes pengabaian termasuk kanak-kanak yang tidak diselia dengan baik atau mengalami penderaan emosional atau pengabaian daripada segi perubatan.



Kes penderaan seksual kanak-kanak juga melonjak 70 peratus daripada 261 kes yang disiasat pada 2020 kepada 443 kes pada 2021, paras tertinggi dalam tempoh 11 tahun.



Penderaan fizikal pula meningkat 16 peratus daripada 677 kes yang disiasat pada 2020 kepada 788 kes pada 2021.



Pengarah Eksekutif Casa Raudha, Cik Zaharah Ariff, berkata pandemik Covid-19 telah meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keganasan keluarga terutama yang melibatkan anak-anak.



"Peningkatan kesedaran yang mengakibatkan masyarakat melaporkan kes penderaan, amat membantu dalam memastikan campur tangan awal dapat dilaksanakan demi membantu kanak-kanak yang teraniaya.



"Sekurang-kurangnya kanak-kanak ini mendapat bantuan yang diperlukan daripada sesuatu yang tidak diingini berlaku ke atas mereka," katanya.



Akur, Ketua Kumpulan bagi Kanak-kanak dalam Kumpulan Jagaan Masyarakat Kanak-Kanak Singapura, Cik Gracia Goh berkata pandemik telah membuat sesetengah keluarga berhadapan dengan isu yang kompleks dan kronik daripada keganasan antara generasi, penyalahgunaan dadah, cabaran kesihatan mental serta penjaga yang mempunyai zaman kanak-kanak yang traumatik.



"Apabila ketiadaan pekerjaan, serta sekolah dan pusat jagaan kanak-kanak dan keluarga tutup, dan keluarga tidak boleh melawat satu sama lain, ini telah meningkatkan permintaan kewangan dan penjagaan bagi sesetengah keluarga.



"Terutama sekali apabila penjaga asas yang juga merupakan pencari nafkah utama, ini yang akan menjadikannya lebih sukar," katanya.



Encik Shaikh Loqman Shaikh Hasan, Kaunselor Utama Pusat Hab Perkahwinan AMP juga berpendapat kesedaran kian meningkat dalam kalangan para kaunselor.



"Kini terdapat lebih ramai golongan karyawan terlatih seperti guru dan kaunselor sekolah yang dapat mengenal pasti dan menangani isu penderaan kanak-kanak apabila berdepan dengan seseorang mangsa berkenaan," katanya.



Usaha sedemikian merupakan sesuatu yang telah dilaksanakan Casa Raudha, yang telah melatih lebih 200 guru prasekolah tahun lalu untuk mengenal pasti tanda-tanda penderaan kanak-kanak.



Satu video juga akan diperkenalkan agar guru tahu bagaimana untuk menyokong kanak-kanak yang didera.



Video itu juga disediakan bagi digunakan di peringkat nasional dan satu lagi bagi masjid untuk guru yang mengajar di kelas pengajian Islam aLIVE.



Ditanya bagaimana mengenal pasti sama ada yang dihadapi kanak-kanak adalah penderaan atau dikenakan tindakan disiplin, Encik Shaikh Loqman berkata mendisiplinkan anak tidak seharusnya menyebabkan sebarang kesakitan terhadap anak tersebut.



"Sebaliknya, ianya harus mendidik anak tersebut tentang tindakannya dan memupuk sifat bertanggungjawab.



"Merotan atau hukuman keras bukanlah cara untuk mendisiplin. Disiplin hendaklah mengandungi unsur kasih sayang agar anak dapat berubah," tambahnya.



Cik Goh turut berkata apabila denda fizikal dikenakan terhadap si anak, ada kalanya orang dewasa tidak dapat menganggarkan kekuatan yang mereka miliki berbanding anak, terutama bayi dan mereka yang mempunyai keadaan perubatan unik.



"Jika cara itu menyebabkan atau boleh menyebabkan kecederaan serius, justeru tingkat laku si penjaga telah menjadi kasar," katanya lagi.



Di samping itu, Cik Zaharah berkata penting juga untuk mengenal pasti kanak-kanak yang diabai.



"Tidak seperti penderaan fizikal di mana boleh terlihat kesan lebam dan sebagainya, tetapi pengabaian sukar untuk dikenal pasti," katanya.



Beliau turut menasihati ibu bapa agar tidak keberatan untuk mendapatkan bantuan jika mereka memerlukannya kerana pada akhirnya mereka perlu sedar bahawa apa yang mereka lakukan itu salah dan bukan dilakukan atas dasar sayang atau mahu mendisiplinkan anak.



Cik Goh juga berkata ibu bapa boleh mendapatkan bantuan daripada keluarga atau sahabat-handai jika mereka tertekan sepanjang membesarkan anak.



"Bantuan boleh juga seperti langkah praktikal daripada mengongsi strategi keibubapaan hingga kepada sokongan emosi," katanya.



Turut bersetuju, Encik Shaikh Loqman mengingatkan agar ibu bapa tidak melibatkan anak dalam permasalahan rumah tangga mereka.



"Jika anda memerlukan bantuan segera, dapatkan pertolongan dari Pusat Khidmat Sosial yang terdekat dengan rumah anda," ujarnya lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >