MEMPUNYAI beberapa sumber telur membantu mengukuhkan keselamatan makanan Singapura, kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli Masagos Mohamad dalam satu catatan Facebook pada Ahad (19 Julai).
Jika bekalan dari satu negara terjejas disebabkan oleh keadaan cuaca, penyakit, isu perdagangan atau logistik, Singapura boleh mengimportnya dari sumber lain bagi memastikan bekalan makanan kekal stabil.
Bagaimanapun, sedang Singapura mempelbagaikan sumber import telurnya, keselamatan makanan kekal penting, tambah Encik Masagos.
"Hanya telur dari sumber yang diluluskan di negara bertauliah yang memenuhi keperluan serta piawaian kesihatan haiwan dan keselamatan makanan kita dibenarkan diimport," katanya.
Encik Masagos turut mengajak orang ramai agar mencuba telur dari Poland, Ukraine, Korea Selatan, Thailand, dan New Zealand yang boleh didapati di sini, bukan hanya untuk menambah kepelbagaian kepada juadah yang dinikmati, tetapi juga memainkan peranan menyokong kepelbagaian bekalan makanan Singapura.