Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SEKITAR RAMADAN

Kesibukan pekerja penghantaran dalam bulan puasa dapat perhatian

foodpanda tawar 13,000 pakej ihsan berisi air, kurma dan snek; Grab beri insentif; Deliveroo adakan promosi galak pelanggan buat pesanan awal agar kakitangan dapat berbuka
Apr 10, 2022 | 05:30 AM



PLATFORM penghantaran telah bersiap sedia bagi bulan Ramadan yang agak sibuk ini dengan pesanan yang dibuat dalam aplikasi sudahpun menunjukkan kenaikan.



Bagi memastikan masyarakat Muslim mendapatkan sajian berbuka mereka tepat pada waktunya, syarikat seperti foodpanda, Deliveroo dan Grab telah mula memberikan insentif tambahan kepada penghantar makanan masing-masing.



Menjawab pertanyaan Berita Minggu, syarikat Deliveroo berkata, musim perayaan seperti bulan Ramadan selalunya akan menyebabkan kenaikan daripada segi bilangan pesanan di seluruh Singapura.



Berdasarkan perangkaan yang diterima pada Ramadan tahun lalu dan beberapa hari Ramadan tahun ini, antara makanan yang sering dipesan untuk berbuka puasa kebanyakannya adalah sajian setempat seperti nasi lemak dan ayam penyet, di samping makanan segera.



Tempahan bagi jenis makanan yang sama juga dapat dilihat daripada foodpanda dengan tempahan makanan kekal konsisten sejak bermulanya Ramadan ini, dan ini bukan sahaja bagi pesanan penghantaran makanan malah bagi pesanan barang-barang runcit dari kedai runcit dalam talian mereka, pandamart.



"Ini mungkin kerana promosi Ramadan kami yang sedang berlangsung serta kemudahan penghantaran 24 jam setiap hari di mana pengguna boleh mendapatkan pesanan dihantar ke pintu rumah mereka kurang 30 minit," kata jurucakap foodpanda.



Bagi memenuhi permintaan meningkat itu, syarikat platform seperti antaranya grab memberi insentif kepada rakan kongsi penghantaran selain memanfaatkan teknologi.



"Platform analitik data kami memantau keadaan permintaan dan bekalan secara langsung dan terus memadankan rakan kongsi dan penghantar makanan dengan tempahan yang diterima melalui cara yang paling berkesan agar pelanggan dapat menerima pesanan mereka secepat mungkin," kata jurucakap Grab.



Insentif juga diberikan kepada penghantar makanan Deliveroo, dan ia merupakan tambahan kepada jumlah yang ditawarkan kepada penghantar makanan bagi setiap penghantaran.



"Algoritma Frank hak milik kami juga direka untuk mengambil kira pelbagai faktor termasuk profil penghantar makanan, jarak, cuaca dan tempoh pesanan untuk memastikan semua penghantar makanan dapat tiba di tempat pelanggan pada masa terpantas," kata jurucakap Deliveroo.



Selain itu, kesejahteraan penghantar makanan Muslim juga dititikberatkan syarikat penghantaran.



Misalnya di Deliveroo, platform itu menggalak pelanggan membuat pesanan awal agar penghantar makanan Muslim dapat berbuka.



Promosi dipanggil "Five Off Before Five" itu membolehkan pelanggan menikmati penjimatan $5 pada tempahan seterusnya sebelum 5 petang apabila mereka membuat tempahan melebihi $30.



Di foodpanda pula, bagi menawarkan sokongan kepada penghantar makanan Muslim semasa Ramadan ini, sebanyak 13,000 pakej ihsan (care pack) yang mengandungi air, kurma dan snek telah diagihkan bagi memudahkan mereka berbuka puasa semasa melakukan syif.



Di samping itu, pada hari Jumaat, penghantar makanan foodpanda yang mengenakan pakaian seragam juga boleh mendapatkan makanan set percuma dari Big Boy Franks, Ministry of Burgers dan Butcher The Burger Bar.



Beberapa penghantar makanan yang ditemu ramah turut melahirkan rasa terharu melihat keprihatinan dan keihsanan yang ditonjolkan bukan sahaja oleh syarikat penghantaran bahkan pelanggan, restoran dan rakan penghantar makanan bukan Muslim yang lain.



Penghantar makanan, Encik Asyraf Buang, 28 tahun, berkata pernah sekali beliau terpaksa menunggu agak lama untuk makanan yang dipesan pelanggan. Kelewatan di restoran itu menyebabkan beliau berbuka dengan air sahaja.



"Mujur pelanggan tidak marah (kerana lewat) dan amat memahami keadaan... Malah, mereka juga memberi saya tip selepas itu," kongsi beliau, yang adakalanya akan berbuka dengan lebih sempurna sekitar 11 malam apabila pulang daripada kerja.



Seorang lagi penghantar makanan, Encik Aldani Thye, 31 tahun, berkata ada restoran bukan Muslim turut menyediakan paket air dan kurma untuk penghantar makanan Muslim.



"Bukan satu keperluan bagi mereka melakukan demikian, tetapi mereka tetap membeli dan menyediakannya kepada kami atas dasar ihsan dan prihatin akan kemaslahatan kami. Itu yang membuat saya agak terkesan dengan sifat murah hati warga Singapura," katanya.



Ada juga pelanggan yang menurutnya, menyediakan snek dan paket air untuk penghantar makanan di depan rumah mereka.



Antara yang melakukan demikian ialah Cik Erma Othman dan anak sulungnya Erfan M. Ridzwan yang meletakkan minuman kotak serta makanan ringan di luar rumahnya.



Bekalan itu ditawarkan secara percuma kepada semua pekerja yang membuat penghantaran ke rumahnya.



Satu lagi keluarga yang berbuat demikian ialah keluarga Cik Qistina Nabilah Rizal, 22 tahun.



"Kami memerhatikan di kawasan rumah kami ramai penghantar makanan, memandangkan sekarang tempahan makanan cara paling mudah membeli makanan.



"Selain itu, rumah kami di tingkat satu dan berhampiran lobi lif. Jadi, lebih mudah untuk penghantar makanan singgah sebentar mengambil snek atau air sebelum pergi. Ia seperti stesen grab and go (capai dan beredar)," ujar anak sulung tiga adik-beradik itu. - LAPORAN TAMBAHAN OLEH FAKHRURADZI ISMAIL




"Bagi menawarkan sokongan kepada penghantar makanan Muslim semasa Ramadan, kami mengagihkan 13,000 pakej ihsan mengandungi air, kurma dan snek kepada penghantar makanan untuk memudahkan mereka berbuka semasa sedang melakukan kerja syif.

Pakej ihsan ini akan diberikan dari 6.30 petang kepada semua penghantar makanan yang mengenakan uniform di hab penghantar makanan barat dan mereka yang mengambil pesanan dari cawangan terpilih pandamart."

- Jurucakap foodpanda.



"Algoritma Frank hak milik kami juga direka untuk mengambil kira pelbagai faktor termasuk profil penghantar makanan, jarak, cuaca dan tempoh pesanan untuk memastikan semua penghantar makanan dapat tiba di tempat pelanggan pada masa terpantas."
- Jurucakap Deliveroo, syarikat perkenal promosi "Five Off Before Five" bagi menggalak pelanggan buat tempahan awal agar kakitangan dapat berbuka, syarikat itu menawarkan penjimatan $5 kepada pelanggan.



"Platform analitik data kami memantau keadaan permintaan dan bekalan secara langsung dan terus memadankan rakan kongsi dan penghantar makanan dengan tempahan yang diterima melalui cara yang paling berkesan agar pelanggan dapat menerima pesanan mereka secepat mungkin."
- Jurucakap Grab.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >