MENJELANG 2024, Kementerian Pendidikan (MOE) akan memansuhkan aliran Normal (Teknikal), Normal (Akademik) dan Ekspres di sekolah menengah.
Sistem baru pengumpulan berdasar subjek (Subject-Based Banding, SBB) akan diperkenal di mana pelajar dapat mengambil subjek di peringkat lebih tinggi atau rendah, berdasarkan keupayaan masing-masing.
MOE akan memulakan pengumpulan berdasarkan subjek di sekitar 25 sekolah tahun depan, menurut Menteri Pendidikan Ong Ye Kung.
Berikut adalah lapan perkara anda perlu tahu:
- Adakah sekolah akan terus mengumpulkan pelajar dalam kelas berdasarkan pengumpulan akademik (academic banding)?
Dengan adanya SBB, pelajar akan mengambil subjek di peringkat yang sesuai dengan keupayaan mereka. Ini memberi peluang kepada sekolah menyesuaikan kelas mereka dengan cara berbeza. Melakukan demikian membolehkan para pelajar daripada latar belakang berbeza belajar dan bekerja bersama.
- Jika anak saya bagus dari segi akademik, adakah dia akan terjejas kini dengan adanya pelajar yang mempunyai keupayaan berbeza dalam kelasnya?
Pelajar yang bagus dari segi akademik tidak akan terjejas, kata MOE. Bagi setiap subjek, pelajar akan diajar dalam kelas sesuai dengan peringkat keupayaan mereka. Pelajar dalam kelas yang sama sudah pun dinilai mempelajari subjek tersebut pada peringkat yang sama – G1, G2 atau G3.
- Adakah sistem pengambilan ke sekolah menengah akan berubah?
Encik Ong berkata buat masa ini, MOE tidak mahu mengubah sistem pengambilan ke sekolah menengah sedia ada. Ini bererti sekolah menengah akan terus mengambil pelajar dari tiga kumpulan pemarkahan PSLE, walaupun aliran-aliran tersebut telah digabungkan.
“Mengambil pelajar daripada kumpulan pemarkahan PSLE berbeza ke dalam sekolah mengengah yang sama memastikan pelajar kita dapat berkawan dengan orang daripada pelbagai latar belakang. Lantas, antara objektif utama pendidikan adalah memupuk masyarakat yang kohesif,” katanya.
- Jika pelajar boleh mengambil subjek sesuai dengan keupayaan mereka dengan adanya SBB, mengapa kita perlu mengambil pelajar ke sekolah menengah dengan menggunakan tiga kumpulan pemarkahan, serupa dengan streaming?
Markah PSLE pelajar berguna dalam menganggarkan kadar pembelajaran paling sesuai bagi setiap pelajar pada permulaan Menengah Satu. Lebih dari itu, dengan adanya SBB penuh, pelajar boleh mengambil lebih banyak subjek di peringkat yang berbeza, berdasarkan pencapaian mereka dalam subjek-subjek tersebut.
- Masihkah ada Menengah Lima?
Menjelang 2024, semua murid yang memasuki Menengah Satu akan melalui kurikulum pendidikan empat tahun bagi semua kumpulan subjek.
“Ini memerlukan kita melakukan semakan sistem pengambilan pasca menengah sedia ada agar pelajar yang mengambil kombinasi subjek di peringkat G1, G2 dan G3 akan dinilai secara adil bagi kemasukan ke ITE, politeknik atau maktab rendah (JC). Penilaian kami akan mengambil kira kekuatan pelajar yang menjadikannya layak mengikuti kursus tertentu pasca menengah,” kata Encik Ong. MOE juga akan meneroka alternatif lain bagi tahun kelima di sekolah menengah, yang mungkin serupada dengan Program Asas Politeknik yang membantu pelajar yang tamat pendidikan menengah mereka memasuki politeknik atau JC.
- Bolehkah para guru menangani beban pengajaran dan memberikan setiap pelajar perhatian yang diperlukan?
Meskipun pengenalan SBB mengakibatkan sedikit peningkatan terhadap beban pengajaran, sekolah-sekolah telah berjaya melaksanakan langkah baru bagi memastikan sistem tersebut efektif dan mampan. Pun begitu, MOE akan terus memberi sokongan kepada para guru dengan menyediakan mereka dengan sumber serta pembangunan professional tambahan bagi menguruskan pelajar yang lebih rencam dengan adanya SBB penuh.
- Adakah pengambilan ke institusi pendidikan pasca menengah akan berubah dengan adanya SBB penuh?
MOE akan menjalankan kajian jangka panjang mengenai bagaimana kemasukan ke institusi-institusi ini perlu diselaraskan untuk melengkapkan pelaksanaan SBB penuh. Penghalusan kepada kriteria kemasukan bagi JC, politeknik dan ITE akan diumumkan secara berasingan kelak.
- Apa akan berlaku terhadap sekolah khas seperti Spectra dan Crest?
Encik Ong berkata adanya SBB penuh membolehkan sekolah khusus seperti ini menawarkan lebih banyak pilihan subjek. Misalnya, Spectra dan Crest, yang kini hanya mengambil pelajar Normal (Teknikal) boleh menawarkan subjek di peringkat N(A) atau mungkin Ekspres.