Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ketahui perbezaan antara zakat dan sedekah

Sebaik-baiknya bayar zakat pada badan bertauliah agar semua penerima layak dapat agihannya
Apr 26, 2022 | 05:30 AM



BEBERAPA pertubuhan di sini didapati mengagih wang zakat kepada bukan salah satu daripada lapan asnaf, atau golongan, yang berhak menerimanya.



Umpamanya, Berita Harian difahamkan mereka memberi wang zakat kepada pekerja migran atau penerima lain yang tidak semestinya termasuk dalam salah satu asnaf itu.



Ketika dihubungi, jurucakap Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mengesahkan hal ini dan mengatakan ia menerima beberapa maklum balas mengenai kekeliruan tersebut.



Muis menyatakan ia mengesan pos catatan di ruang media sosial oleh sesetengah badan amal dan bukan pemerintah yang menggalak zakat dibayar kepada mereka untuk menyokong usaha kebajikan mereka.



Ini sedangkan mereka dan golongan yang dibantu mereka tidak tergolong dalam asnaf penerima zakat dan oleh itu tidak boleh menerima zakat dan harus mengutip derma atau sedekah sahaja.



Terdapat salah faham yang sering menyamakan zakat dengan infak, atau sedekah.



Misalnya, agihan zakat kepada pekerja migran boleh menyebabkan ia bertukar menjadi agihan sedekah sahaja kerana golongan tersebut tidak termasuk dalam salah satu asnaf zakat, dan tiada fatwa menyokong agihan sedemikian menggunakan dana zakat.



Ketika dihubungi Berita Harian, Penolong Pengarah Kanan, Dana Masyarakat Muis, Encik Shamsul Jangarodin, berkata:



"Penggunaan wadah media sosial dalam kalangan masyarakat semakin rancak dalam bulan Ramadan dengan adanya pertubuhan amal menarik perhatian umum untuk mendapatkan sokongan dana.



"Fenomena tersebut bukan satu perkara luar biasa - kesedaran agama yang menjulang tinggi pada bulan suci Ramadan menarik lebih ramai individu Muslim melakukan kebajikan dan amal.



"Namun pada masa sama, sifat kedermawanan tersebut sering terpalit dengan kekeliruan antara infak, yang lebih dikenali sebagai sedekah, dengan rukun Islam ketiga, iaitu ibadah menunaikan zakat.''



Encik Shamsul menambah Muis amat mengalu-alukan dan berbesar hati melihat sifat kedermawanan masyarakat yang tinggi sepanjang Ramadan untuk membantu golongan memerlukan.



Namun, Muis masih menerima banyak pertanyaan daripada orang awam yang keliru antara sedekah dengan zakat dalam mereka melakukan amal itu.



Sebahagian masyarakat kurang faham tentang perlunya zakat diagih kepada lapan asnaf yang ditentukan dalam Al-Quran.



Justeru setiap tahun Muis mengadakan kempen kesedaran awam tentang zakat bagi menjelaskan kepada orang ramai secara terperinci dan memperkukuh pemahaman tentang zakat.



Kandungan kempen itu turut disiarkan di pelbagai wadah, termasuk surat khabar, televisyen, radio dan ruang media sosial, bagi mendekati lebih ramai anggota masyarakat.



Meskipun zakat kerap dikaitkan dengan golongan fakir dan miskin, terdapat enam lagi asnaf - gharimin, riqab, mualaf, amil, ibnussabil dan fisabilillah - yang berhak menerima agihan zakat.



"Sebagai pembayar zakat, kita dianjurkan agar peka mengenai proses agihan dana zakat. Kita perlu memastikan penerima agihan tergolong dalam salah satu daripaa lapan asnaf tersebut supaya ibadah zakat kita sempurna," kata Encik Shamsul.



Seorang pendakwah bebas, Ustaz Muhd Faisal Ayub, yang juga pengasas Gift Appeal Foundation, berkata ada syarat tertentu dalam pengagihan wang zakat.



"Zakat fitrah hanya dibayar pada bulan Ramadan, dan zakat harta pula apabila ia sudah sampai tempoh setahun dan jumlah minimum yang diwajibkan zakat ke atasnya.



"Zakat juga hanya diberi kepada orang tertentu di bawah salah satu daripada lapan asnaf.



"Infak pula tidak kira masa dan boleh diberikan kepada sesiapa.



"Bagi orang awam, cara terbaik membayar zakat ialah untuk berurusan dengan amil (pengurus zakat) yang diyakini, amanah dan jujur," katanya.



Seorang lagi pendakwah bebas, Ustazah Kalthom Isa, berkata jika orang awam tidak tahu mencari orang yang tergolong dalam salah satu daripada lapan asnaf, hendaklah zakat itu diberi kepada badan bertauliah memungutnya.



"Jika kita betul-betul tahu siapa tergolong di bawah asnaf zakat, maka bolehlah kita memberinya sendiri. Namun, jika ada asnaf kita tahu dan ada kita tidak dapat cari, maka lebihan zakat itu perlulah kita berikan pada badan-badan bertauliah untuk dibahagikan," kata Ustazah Kalthom.



Mengenai apakah zakat boleh diberi kepada warga asing, Ustazah Kalthom berkata:



"Mekanisme pengagihan zakat ialah keutamaan diberi kepada mereka yang bekerja dan meraih harta dan gaji di negara tersebut dan membayar zakat di tempat mencari rezeki.



"Namun, jika negara asalnya teramat memerlukan wang zakat, maka boleh juga dia memberikan zakatnya di negara asalnya kerana keperluan itu.



"Tanpa sebab, haram memindahkan zakat ke tempat lain. Ia tidak diperbolehkan kecuali dengan alasan tertentu, misalnya kekeluargaan dan ada keutamaan."



Berkenaan apakah wang zakat boleh diagih kepada pekerja migran, ia bergantung sama ada pekerja itu memenuhi kriteria untuk dia digolongkan dalam satu satu asnaf.



Contohnya, kalau dia ada hutang yang tidak boleh dielak, dia boleh digolongkan dalam asnaf gharimin, kata Ustaz Faisal.



"Bukan tak boleh bantu warga asing, tetapi ramai ulama berpendapat kita perlu tolong orang dalam negeri dahulu," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >