Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ketahui situasi untuk hubungi 995

Mengenal pasti perbezaan antara kecemasan dengan bukan kecemasan boleh selamatkan nyawa
Jan 22, 2022 | 05:30 AM



DALAM keadaan cemas yang mengancam nyawa, orang ramai boleh menjangkakan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) akan segera bertindak. Ia mengendalikan Khidmat Perubatan Kecemasan (EMS) 24 jam dan pasukannya sentiasa bersedia memberi bantuan.



Anda hanya perlu menghubungi 995.



Namun, daripada lebih 190,000 panggilan kecemasan yang dikendalikan EMS pada 2020, sekitar 8 peratus atau sebanyak 42 panggilan secara purata setiap hari merupakan panggilan bukan kecemasan. Panggilan sedemikian boleh melambatkan respons SCDF dan pengerahan sumber untuk keadaan kecemasan yang benar-benar mengancam nyawa di tempat lain.



Bagaimanapun, angka keseluruhan menunjukkan kesan positif. Buat kali pertama dalam 20 tahun, jumlah panggilan EMS yang disahut SCDF telah berkurangan. Panggilan bukan kecemasan dan palsu juga masing-masing telah menurun sebanyak 16.1 peratus dan 14.1 peratus.



Justeru, bagaimanakah EMS SCDF boleh mengenal pasti kejadian kecemasan? Apabila seseorang menghubungi 995 untuk mendapatkan bantuan, satu penilaian perubatan akan dilakukan melalui telefon. Kakitangan pusat panggilan SCDF menggunakan maklumat yang diberikan oleh pemanggil untuk menentukan tahap keparahan pesakit itu dan mengutamakan sumber sewajarnya.



SETIAP PANGGILAN DINILAI



Pada 2017, SCDF memperkenalkan Rangka Kerja Respons Berperingkat EMS. Ia membahagikan panggilan kepada empat kategori: kecemasan mengancam nyawa, kecemasan, kecemasan kecil dan bukan kecemasan.



Kecemasan mengancam nyawa termasuk serangan jantung, tidak sedarkan diri, sesak nafas, trauma besar dan angin ahmar. Apabila ini berlaku, SCDF mengerah sumber kecemasan tambahan secepat mungkin.



Kecemasan termasuk alahan teruk, bersalin, kecederaan kepala, tulang retak, semput, kanak-kanak yang sakit dan penyakit kronik yang menjejas warga tua.



Kategori ketiga, kecemasan kecil, termasuk luka berdarah, kemalangan dengan kecederaan berlebam, bengkak, kecederaan ringan dan demam berterusan. Kes-kes seperti ini mendapat keutamaan rendah dan respons yang lebih lama.



SCDF mungkin mengerahkan Pakar Bomba dan Penyelamat (FRS) buat ketiga-tiga kategori pertama.



Sejak 2012, lebih 300 kakitangannya telah disilang latih sebagai Teknisyen Perubatan Kecemasan (EMT) dan boleh memberi respons kepada kededua kecemasan kebakaran dan perubatan.



Sebagai FRS-EMT, mereka boleh memberi respons kepada kecemasan mengancam nyawa dengan menaiki kereta bomba, kenderaan "Red Rhino" atau motosikal bomba.



Motosikal itu dilengkapi dengan barangan perubatan penting seperti perubatan, silinder oksigen, alat defibrilator luaran automatik (AED) dan alat diagnostik. Motosikal tersebut lebih mudah bergerak, supaya ia boleh tiba di tempat kejadian dengan lebih cepat daripada sebuah ambulans.



Keadaan bukan kecemasan seperti sembelit dan ruam kulit tidak memerlukan bantuan perubatan kecemasan.



Pihak SCDF tidak lagi menghantar kes bukan kecemasan ke hospital sejak 2019. Sebaliknya, pemanggil disuruh melakukan rawatan bantuan kecemasan atau pergi ke klinik berdekatan untuk keadaan sedemikian.



Individu yang ingin dibawa ke hospital bagi keadaan bukan kecemasan dinasihatkan menghubungi 1777 untuk ambulans bukan kecemasan yang akan mengenakan bayaran.



DIBAWAKAN OLEH: SCDF




APA ITU KECEMASAN?



KECEMASAN



Hubungi 995 hanya jika anda mengalami kecemasan, seperti penyakit mengancam nyawa atau kecederaan yang boleh menyebabkan kematian atau komplikasi serius jika ia tidak dirawat dengan cepat.



Keadaan demikian boleh menjejas pernafasan dan peredaran darah. Berikut antara contohnya:



- Angin ahmar

- Terjatuh dari tempat tinggi

- Lemas

- Sukar bernafas

- Rasa mengantuk atau tidak sedarkan diri

- Luka dalam dan berdarah dengan banyak

- Melecur teruk, termasuk yang diakibatkan kejutan elektrik atau kilat

- Keracunan

- Alahan teruk

- Tulang terkehel atau retak

- Bersalin



BUKAN KECEMASAN



Keadaan bukan kecemasan pula tidak menyebabkan kematian atau komplikasi serius jika ia tidak dirawat dengan segera.



Kes-kes demikian boleh dirawat di rumah atau klinik terdekat. Contoh termasuk:



- Sakit gigi

- Insomnia

- Luka dan cedera ringan

- Pening yang ringan

- Cirit-birit atau sembelit




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >