KUALA LUMPUR: MENTERI Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan pada Khamis (19 Mei) berkata beliau berharap ketersambungan antara Singapura dan Malaysia dapat dipulihkan sepenuhnya berikutan pembukaan semula sempadan antara kedua-dua negara.
Perjalanan udara telah disambung semula kepada lebih 180 penerbangan dalam masa seminggu ke tujuh destinasi di seluruh Malaysia.
Ini merupakan sekitar 40 peratus daripada tahap ketersambungan penerbangan sebelum pandemik, iaitu sekitar 500 penerbangan seminggu, kata Dr Balakrishnan.
“Kami berharap dalam beberapa minggu dan bulan akan datang, kami dapat melihat penyambungan semula sepenuhnya perjalanan udara. Di darat, Koswe dan Laluan Kedua telahpun dibuka.
“Terutama pada hujung minggu cuti panjang, terdapat aliran trafik yang rancak - belum hingga pada tahap sebelum pandemik, tetapi saya pasti ia akan meningkat dari masa ke masa,” katanya kepada wartawan pada hari terakhir lawatan tiga harinya ke Malaysia.
Perkhidmatan feri baru dari Desaru juga sedang dipertimbangkan.
Dr Balakrishnan berkata bahawa Malaysia dan Singapura menikmati hubungan yang kukuh dan rapat yang mampu mengatasi pandemik Covid-19.
Hubungan rapat sedemikian juga memudahkan Singapura mengekalkan hubungan dua hala dengan jirannya, walaupun terdapat perubahan dalam kerajaan sejak pilihan raya umum 2018.
“Hakikat bahawa kami boleh bekerjasama untuk menyokong dan membantu satu sama lain dalam saat-saat genting, membuat semua perbezaan.
“Dari segi hubungan politik dua hala, ia kukuh, rapat, dan dapat bergantung sesama kita,” tambah beliau.
Semasa lawatannya, Dr Balakrishnan telah bertemu Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Beliau juga telah bertemu Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Saifuddin Abdullah di Putrajaya, Malaysia