KETUA Pembela Awam, yang akan mengetuai Pejabat Pembela Awam (PDO) yang disasarkan akan ditubuhkan menjelang hujung tahun ini, boleh meluluskan bantuan undang-undang jenayah kepada warga Singapura dan penduduk tetap yang lulus ujian kemampuan dan merit, tetapi juga boleh menolak untuk memberi bantuan.
Walau bagaimanapun, Menteri Undang-Undang boleh membatalkan sebarang keputusan untuk tidak memberi bantuan, seperti apabila individu yang gagal ujian kemampuan tidak mampu membayar peguam kerana penyakit atau tanggungjawab penjagaan.
Tetapi, mereka yang menyalahgunakan sistem itu dengan membuat kenyataan palsu tentang kemampuan mereka boleh dikenakan denda maksimum $5,000 atau dipenjara hingga enam bulan.
Ini adalah ciri utama Rang Undang-Undang yang diperkenalkan semalam yang, jika diluluskan oleh Parlimen, membuka jalan kepada PDO untuk mentadbir bantuan undang-undang jenayah sebagai sebuah jabatan di bawah Kementerian Undang-Undang (MinLaw).
April lalu, Menteri Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, mengumumkan langkah untuk menubuhkan PDO yang dibiayai sepenuhnya oleh pemerintah untuk memberi bantuan guaman kepada golongan memerlukan yang menghadapi tuduhan jenayah tetapi tidak mampu untuk mendapatkan peguam.
Skim itu akan meliputi hingga 35 persentil isi rumah penduduk. Ini bersamaan dengan pendapatan isi rumah per kapita bulanan hingga $1,500.
Encik Shanmugam telah berkata dalam kenyataan menterinya bahawa ini adalah untuk meningkatkan akses kepada keadilan bagi individu yang rentan di Singapura.
Langkah itu menandakan perubahan ketara dalam pendirian pemerintah terhadap bantuan undang-undang jenayah.
Semalam, MinLaw memperkenalkan Rang Undang-Undang Pembela Awam untuk memperuntukkan pelantikan Ketua Pembela Awam dan pembela-pembela awam; skop perlindungan bantuan guaman jenayah, proses yang berkaitan dengan pemberian bantuan; dan rangka kerja penalti.