KETUA Parti Demokratik Singapura (SDP) Chee Soon Juan tidak percaya golongan mewah akan selalu mengundi Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah, atau golongan itu kurang mengambil berat tentang orang-orang sekelilingnya, seperti warga tua dan golongan miskin.
"Segmen mewah masyarakat kita mengambil berat - dan amat mengambil berat - tentang apa yang berlaku di sekeliling mereka.
"Saya percaya perasaan belas kasihan memang terdapat dalam diri kita semua," kata beliau dalam rapat pilihan raya waktu makan tengah hari di UOB Plaza hari ini, Isnin (7 September).
Dr Chee menyatakan demikian sebagai respons kepada orang-orang yang menanyakan kepadanya mengapa beliau bertanding di GRC Holland-Bukit Timah, yang merangkumi estet-estet perumahan privet seperti di Sixth Avenue dan Namly Road.
Mereka memberitahunya: "Ia tempat orang kaya. Mereka terlalu kaya dan berpuas hati hingga mereka akan mengundi PAP."
Dr Chee menekankan bahawa SDP tidak menolak kemewahan tetapi menentang ketaksamaan kekayaan.
Ini kerana "jurang pendapatan yang semakin luas merosakkan kebaikan bersama, menghakis kesepaduan, dan mengakis nilai-nilai yang memupuk kesepaduan sosial".