RAMADAN bakal menjelang minggu depan, tetapi sinar cahayanya mula terpancar di Kampong Glam pada Rabu - hari pertama bazar bermula di kawasan bersejarah itu.
Bazar itu merupakan sebahagian daripada pesta 'Raikan Cahaya Ramadan' anjuran One Kampong Gelam dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Singapura (STB).
Pesta itu menampilkan lebih daripada 100 gerai bazar, dengan pertunjukan cahaya, persembahan pentas dan kutipan amal.
Dianjurkan dari 15 Mac hingga 16 April 2023, Kampong Glam dijangka melahirkan suasana penuh "glam" sarat dengan pengalaman budaya dan acara gah.
Diadakan di sepanjang Baghdad Street, Kandahar Street dan pintu gerbang Sultan Gate, pengunjung boleh menikmati pelbagai juadah dan barangan.
Antara tarikan termasuk trak makanan, ruang mezanin dua tingkat untuk menjamu selera, serta santapan kegemaran tradisional seperti kuih-muih, di samping makanan popular.
Selain zon makanan, terdapat juga lebih daripada 20 gerai runcit yang menjual seni moden, hasil kraf tangan dan pakaian tradisional.