Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kg Glamor sepanjang zaman

Jul 21, 2019 | 05:30 AM



Kaya dengan sejarah dan warisan, Kampong Glam adalah antara distrik paling berwarna-warni di Singapura. Siri ini akan menyusur sejarah, perkembangan dan kehidupan sosial, budaya dan ekonomi di kawasan itu. ATIYYAH MOHD SAID (atiyyahm@sph.com.sg) dan ERVINA MOHD JAMIL (ervinamj@sph.com.sg) dengan laporannya.



CIK Rosnah Ibrahim, 58 tahun, menghabiskan lebih 20 tahun membesar di kawasan Kampong Glam.



Ibunya, Cik Mariamah Yunos, 80 tahun, pula menghabiskan sebahagian besar hidupnya tinggal di situ.



Anak Cik Rosnah, Cik Barkeh Abdul Aziz, 35 tahun, juga pernah tinggal di situ walaupun sekadar beberapa tahun sebelum penduduk di kawasan itu terpaksa berpindah untuk memberi laluan kepada pembangunan semula.



Meskipun kawasan itu telah melalui pelbagai perubahan selama ini, kawasan itu tetap mempunyai tempat istimewa dalam hati mereka dan keluarga tiga generasi ini terus berkunjung ke sana bagi pelbagai tujuan termasuk membeli-belah dan menjamu selera.



KREATIF CARI REZEKI



Menurut Cik Mariamah, beliau tinggal bersama keluarga suaminya di Pahang Street (Kampong Dalam) selepas berumahtangga pada lewat 1950-an selama beberapa tahun sebelum berpindah ke Bussorah Street (Kampong Kaji).



Ketika di Pahang Street, mereka tinggal di sebuah rumah dua tingkat, dengan lebih 20 anggota keluarga tinggal di rumah yang sama.



"Kalau basuh pinggan, macam orang kenduri, ada beberapa keluarga tinggal sama-sama," kata nenek 23 cucu yang juga mempunyai seorang cicit itu.



Selepas berpindah ke Bussorah Street, Cik Mariamah berusaha keras membantu suaminya, Encik Ibrahim Abdullah, yang telah meninggal dunia lebih 20 tahun lalu, membesarkan enam anak mereka, termasuk Cik Rosnah, dengan pelbagai cara.



Sementara Allahyarham mahir membuat capal untuk dijual, Cik Mariamah pula rajin memasak pelbagai juadah yang kemudian dijual termasuk di bazar Ramadan.



Antara juadah yang disediakannya itu termasuk pisang goreng, popiah, cempedak goreng, sate kerang dan kuih laman sari.



Tambahnya, beliau belajar memasak juadah itu semasa bergotong-royong memasak dan rewang semasa majlis perkahwinan dan kenduri penduduk di kawasan itu.



Sambil menunjukkan laluan pejalan kaki di antara kedai di Bussorah Street kepada wartawan, Cik Mariamah turut berkata laluan itu merupakan jalan raya semasa beliau tinggal di sana dahulu dan di situ jugalah bazar biasanya diadakan sepanjang Ramadan.



Ketika itu, pengendali gerai bazar itu seperti gerai air katira dan nasi beriani biasanya memasang hos air panjang dari rumah mereka di 24 Bussorah Street hingga ke gerai di luar rumah itu bagi keperluan air mereka.



Pengendali gerai itu kemudian akan membayar mereka bagi air yang digunakan.



"Inilah macam-macam cara nak besarkan anak-anak. Dulu bangun 4 pagi, tidur 11 malam pun tak rasa penat. Tapi saya rasa suka," ujar Cik Mariamah yang turut dikenali sebagai Wak Jah Goreng Pisang di kalangan penduduk kawasan tersebut.



HAB PELBAGAI KEGIATAN



Cik Rosnah dan adik-beradiknya turut membantu menjual juadah hasil air tangan ibu mereka kepada penduduk di kawasan itu selepas sekolah setiap hari.



Menurut Cik Rosnah yang lebih dikenali sebagai Mon oleh penduduk di kawasan Kampong Glam dahulu, beliau akan membawa bakul yang mengandungi juadah itu dan menjualnya termasuk di Kelab Kota Raja.



Menyifatkan kawasan itu sebagai meriah dengan pelbagai kegiatan di balai rakyat, kelab dan masjid ketika itu, Cik Rosnah berkata tempat itu juga sering menjadi tumpuan anak kapal yang berkunjung dari pelabuhan berdekatan.



"Anak angkat mak saya ramai, mereka budak-budak yang kerja kapal dari Indonesia.



"Bapa saya pula suka duduk di depan rumah dan mereka akan datang berbual dengannya, kemudian tumpang tidur di rumah kami sampai tiba masa untuk mereka belayar lagi," ujar pegawai pentadbiran itu.



Selepas mendirikan rumahtangga pada 1982, Cik Rosnah berpindah ke rumah ibu mentuanya di sebuah flat di Boon Keng.



Namun, ibu dua anak itu kerap pulang ke tempat beliau membesar di Bussorah Street itu sehingga sekarang meskipun kini beliau tinggal agak jauh di Tampines.



Bak kata pepatah, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.



ABADIKAN KENANGAN



Anak Cik Rosnah, Cik Barkeh, juga dapat merasa tinggal di Bussorah Street meskipun buat beberapa tahun sahaja.



Ini kerana keluarga mereka berpindah dari kawasan itu pada 1994 bagi memberi laluan kepada pembangunan semula. Mereka dipindahkan ke sebuah flat di Jalan Sultan selepas itu.



Walaupun ibu bapa Cik Barkeh sudah berpindah ke Boon Keng, pegawai perkhidmatan pelanggan itu menghabiskan banyak masa bersama nenek dan datuknya di Bussorah Street semasa beliau kecil.



"Kalau dulu saya main di longkang depan rumah dan berenang semasa banjir di sini, sekarang saya ke sini untuk makan di kafe dan restoran atau beli kain dengan kawan-kawan," ujarnya.



Tambahnya, beliau juga bangga menunjukkan temannya dan suaminya tempat beliau menghabiskan banyak masa semasa zaman kanak-kanaknya namun berharap lebih banyak usaha dapat dijalankan untuk mengabadikan sejarah kawasan tersebut.



Cik Barkeh akur perubahan diperlukan untuk menarik pengunjung ke kawasan bersejarah itu tetapi berharap kisah penduduk dan kampung lama di kawasan itu termasuk Kampong Kaji, Kampong Dalam dan Kampong Tembaga dapat diketengahkan dengan lebih jelas.



"Kita boleh adakan lebih banyak papan tanda dengan penerangan apa yang pernah berlaku di sini dahulu.



"Atau mungkin kita boleh menggunakan salah sebuah rumah kedai di sini untuk menunjukkan kepada orang ramai bagaimana keadaan di dalamnya, barulah orang ramai dapat melihat cara kehidupan mereka dahulu," ujarnya.




TAHUKAH ANDA?



-Nama Kampong Gelam berasal daripada pokok gelam (pokok kayu putih), yang banyak ditemui di kawasan itu. Ia sering digunakan oleh penduduk, misalnya kayunya dibuat bahan binaan, daunnya dan minyaknya dibuat ubat.



- Pahang Street, dikenali sebagai Kampong Dalam oleh para penduduk di kawasan itu. Menurut sejarah, keluarga kerabat diraja mempunyai keutamaan ke atas kawasan tersebut dan akan mengepung kawasan itu apabila menganjurkan majlis-majlis khas.



- Bussorah Street, sebelum ini dikenali sebagai Kampung Sultan dan dinamakan semula sebagai Bussorah Street pada 1910. Ia juga popular dengan distrik tersendiri seperti Kampong Tembaga kerana ramai tukang tembaga dari Jawa; Kampong Intan sebab terdapat ramai pedagang dan tukang berlian dari Banjar dan Kampong Kaji, tempat jemaah haji berkumpul sebelum ke Mekkah.



- Kampong Kaji



Nama Kampong Kaji berasal daripada perkataan 'haji' yang disebut orang Jawa sebagai 'kaji' memandangkan ramai penduduk Jawa di daerah itu. Sehingga pertengahan 1970-an, Singapura adalah pusat haji di Asia Tenggara. Ramai Muslim seperti dari Indonesia dan Filipina, akan berkumpul di sini sebelum ke Makkah. Sehingga lewat 1800-an, dianggarkan seramai 10,000 jemaah tiba di Singapura setiap tahun.



- Masjid Sultan



Diisytiharkan sebagai monumen negara pada 1975. Sejarah masjid ini bermula sekitar 1823 apabila Sultan Hussein mahukan sebuah masjid berdekatan dengan istananya di Kampong Glam. Ia kemudian dibina semula sekitar 1920-han, dan ciri paling menarik adalah dua kubah emas. Setiap pangkalan kubah dihiasi dengan tutup botol kaca yang dikumpul oleh Sultan sebagai sumbangan penduduk Muslim yang miskin dalam usaha pembinaan semula masjid itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >