BEBERAPA perkhidmatan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) terjejas lebih dua jam pagi semalam sebelum beroperasi semula sekitar 10.30 pagi semalam.
ICA berkata, gangguan bekalan elektrik bagi sistem pemprosesan telah menyebabkan pelbagai perkhidmatan di Bangunan ICA di Kallang Road, tergendala.
Gangguan itu bermula pada 8 pagi dan berlangsung selama dua setengah jam, sebelum dapat diselesaikan, kata ICA dalam satu kenyataan media.
Bagi menangani keadaan, ICA juga menggesa orang ramai untuk menangguhkan sebarang perjalanan mereka untuk mengunjungi bangunan itu semalam.
Dengan lonjakan pembaharuan pasport baru-baru ini, ICA telah melihat lebih daripada 5,000 permintaan setiap hari, iaitu sehingga tiga kali ganda permintaan sebelum pandemik.
Sebelum itu, ICA telah mengumumkan bahawa mereka yang perlu membuat perjalanan ke luar negara dengan segera mungkin boleh menerima pasport baru mereka dalam beberapa hari jika rayuan dalam talian mereka diluluskan.
Sejak 13 Jun lalu, hanya mereka yang mempunyai temu janji atau pemberitahuan pengambilan pasport dibenarkan memasuki bangunan.
Mereka boleh menyemak status permohonan mereka dalam talian.