PENGGUNA khidmat digital DBS tidak dapat log masuk ke akaun mereka pada 29 Mac selepas akses kepada perkhidmatan digital bank itu terganggu.
Bank tersebut mengatakan di Facebook pada 9.20 pagi Rabu bahawa akses kepada khidmat dalam talian digibank dan khidmat mudah alihnya, termasuk aplikasi PayNow, tidak dapat digunakan.
DBS berkata:
"Kami sedang menyelesaikan isu itu dan akan memberi kemas kini sebaik sahaja perkhidmatan dipulihkan.
"Yakin lah bahawa sistem kami kekal selamat dan tidak terjejas."
Dalam kenyataan yang dikemas kini selepas itu, DBS berkata pelanggan boleh terus menggunakan kad DBS/POSB mereka untuk transaksi.
Di laman web Downdetector, yang menjejaki gangguan, aduan mula timbul sejak 7 pagi, dengan kemuncak lebih daripada 360 laporan diterima pada sekitar 8.30 pagi.
Pelanggan lain yang tidak puas hati telah ke laman Facebook DBS untuk melaporkan isu termasuk tidak dapat menerima kata laluan sekali (OTP) dan menerima permintaan untuk menetapkan semula pin mereka.
The Straits Times melaporkan bahawa pelanggan DBS, Encik Su Yuanchang berkata beliau mencuba sehingga tujuh kali sejak 8 pagi untuk menggunakan aplikasi perbankan mudah alih bank itu untuk membayar bilnya, namun, masih tidak berjaya.
Jurutera itu, yang berusia dalam lingkungan 50-an tahun, berkata:
"Ia terus meminta saya menetapkan semula pin saya apabila saya ingin menukar had transaksi saya tetapi saya tidak menerima sebarang pin.
"Akhirnya, saya tidak dapat log masuk sama sekali."
Pengguna Facebook, Mawar Elin Mamat, mendakwa beliau tidak dapat membayar bil hospitalnya kerana gangguan itu.
Pada 24 Mac, pengguna aplikasi DBS PayLah menghadapi kelewatan dalam menerima pulangan tunai mereka apabila mereka membuat pembayaran dengan harapan untuk menuntut subsidi makanan $3 yang ditawarkan oleh bank.
Kelewatan itu disebabkan oleh jumlah log masuk yang tinggi, kata DBS ketika itu.
Pada November 2021, pelayan kawalan akses yang tidak berfungsi telah mengganggu perkhidmatan bagi pengguna DBS dan POSB selama tiga hari, mengakibatkan gangguan digital paling teruk dalam sedekad bagi bank itu.