Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Khidmat tempah bas awam di Joo Koon, Marina-Downtown mulai 17 Disember

Dec 04, 2018 | 05:30 AM



PENUMPANG kini boleh menempah khidmat bas awam di kawasan Joo Koon dan Marina-Downtown mulai 17 Disember ini, seperti menempah khidmat kereta sewa peribadi menggunakan aplikasi telefon bijak.



Usaha tersebut sebahagian program percubaan khidmat Bas Awam Mengikut Permintaan (ODPB) yang akan berlangsung selama enam bulan.



Menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), penumpang boleh memilih menaiki bas dari mana-mana perhentian bas dan di perhentian mana mereka ingin turun dalam kawasan tersebut sepanjang waktu yang ditetapkan bagi tempoh percubaan.



Mereka boleh menaiki bas awam SBS Transit itu dari 11 pagi hingga 3 petang dan 8.30 hingga 11.30 malam di kawasan Joo Koon; serta 11 pagi hingga 3 petang dan 8.30 hingga 11.45 malam bagi kawasan Marina-Downtown.



Khidmat itu disediakan dari Isnin hingga Jumaat kecuali cuti umum.



Tambang dikenakan berdasarkan jarak 3.2 kilometer, yang kini berharga 77 sen bagi penumpang dewasa menggunakan kad tambang, atau 83 sen mulai 29 Disember.



Penumpang akan diberi tiket elektronik, yang perlu ditunjukkan kepada pemandu, selepas berjaya membuat tempahan menerusi aplikasi telefon bijak. Mereka kemudian membayar tambang seperti biasa menggunakan kad EZ-Link, wang tunai dan sebagainya.



Penumpang dinasihatkan agar tidak lewat sampai di perhentian bas dan menyatakan bilangan penumpang yang tepat.



Mulai 4 Januari ini pula, khidmat ODPB juga akan disediakan bagi laluan dari kawasan pusat bandar (CBD) menuju ke Bedok dan Tampines.



Mereka boleh menaiki bas awam SMRT Buses bagi khidmat ODPB di laluan tersebut setiap Jumaat, Sabtu dan hari sebelum cuti umum dari 11.30 malam hingga 2 pagi.



Bagi laluan itu, penumpang perlu membayar tambang tetap $4.50 - tambang yang sama dengan NightRider NR7 sekarang.



Aplikasi yang boleh digunakan bagi kawasan Marina-Downtown serta laluan dari CBD ke Bedok dan Tampines ialah BusNow, yang dibangunkan syarikat setempat Swat.



Dalam pada itu, aplikasi yang boleh digunakan bagi kawasan Joo Koon ialah BusGo, yang dibangunkan syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat, Via.



Menurut LTA, khidmat bas biasa akan terus disediakan tetapi dengan kekerapan lebih perlahan - 30 minit bagi kawasan Joo Koon dan 40 minit bagi kawasan Marina-Downtown - atau sekitar dua kali lebih lama berbanding sekarang, sepanjang tempoh percubaan ODPB selama enam bulan.



Khidmat NightRider NR7 akan digantung dari 4 Januari hingga 15 Jun tahun depan.



Ketika ditemui dalam previu media khidmat ODPB semalam, Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Dr Janil Puthucheary, berkata kawasan Joo Koon, Marina-Downtown serta laluan dari CBD ke Bedok dan Tampines dipilih bagi program percubaan itu untuk mengurangkan gangguan kepada khidmat bas biasa kerana permintaan di tempat tersebut agak rendah.



"Kami berharap orang ramai dapat mencuba khidmat ini dan berikan maklum balas tentang apa yang berkesan dan apa yang tidak. Kami akan memperbaiki dan mungkin menyesuaikan dengan keperluan kawasan yang berbeza," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >