Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Khidmat Warga Tua Jagaan Masyarakat Dipertingkat

Oct 21, 2019 | 06:00 AM



 



 



Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) merupakan sebuah pusat sehenti yang menyediakan maklumat menyeluruh tentang penjagaan warga emas dan untuk individu yang mengalami masalah kesihatan mental. AIC bekerjasama rapat dengan rakan jagaan masyarakat, membantu menghubungkan mereka yang memerlukan bantuan kepada institusi perubatan dan pusat jagaan, kursus latihan, dan skim bantuan kewangan yang sedia ada. Berikut AIC membawakan kisah dua individu yang memanfaatkan antara program dan khidmat jagaan dengan bantuan mereka.



=================================================



Kini boleh bernafas lega selepas manfaatkan skim bantuan untuk penjaga

 



 



 



SELEPAS ibunya meninggal dunia pada 2016, Cik Siti Nabilah Abdul Aziz terpaksa berhenti



kerja sebagai guru prasekolah untuk menggalas tanggungjawab sebagai penjaga sepenuh



masa kepada neneknya.



Tugas itu bagaimanapun tidak mudah.



Nenek beliau, Cik Balkis Ibrahim, 80 tahun, mengalami angin ahmar pada 2015 dan didiagnos menghidapi demensia pada tahun lalu. Awal tahun ini pula, neneknya menghidapi radang paru-



paru, yang sekali gus menjejas keupayaannya untuk melakukan kegiatan harian seperti



berjalan dan mandi. “Adik saya bersekolah dan kadang kala dia ada kegiatan tambahan hingga lewat malam. Kini, dia sedang melakukan internship.



“Abah saya juga bekerja dan sering lakukan overtime untuk menyokong penjagaan Nani (nenek) saya. Suami saya juga bekerja. Jadi, sayalah yang menjaganya seorang diri dari pagi hingga malam. Ia agak mencabar,” kata Cik Siti Nabilah, 25 tahun.



Mengongsi antara cabarannya, Cik Siti Nabilah berkata beliau perlu menyuapkan makanan dan perlu menukarkan lampin buat neneknya setiap hari. Oleh sebab neneknya itu menghidapi radang paru-paru dan mempunyai sistem imun yang lemah, Cik Siti Nabilah juga kerap membersihkan dan mensanitasikan rumahnya supaya neneknya tidak dijangkiti kuman dan mudah jatuh sakit.



 



DAPATKAN BANTUAN



Dek keletihan dan tekanan yang dihadapi, beliau akhirnya memutuskan untuk mendapatkan pertolongan dalam penjagaan neneknya itu beberapa bulan lalu.



Di sinilah Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) memainkan peranan mereka dengan menghubungkan penjaga, seperti Cik Siti Nabilah, pada khidmat jagaan dan skim bantuan kewangan yang sedia ada bagi penjagaan orang tersayang.



AIC merupakan sebuah pusat sehenti yang menyediakan maklumat jagaan menyeluruh kepada warga emas, penjaga dan keluarga mereka.



Cik Siti Nabilah telah mendekati Pusat Jagaan Warga Emas Tembusu untuk meletakkan neneknya di bawah aturan jagaan siang hari.



Cik Balkis menerima perkhidmatan seperti rawatan peribadi di rumah dan khidmat jagaan seharian, di mana warga emas yang mempunyai keperluan jagaan bertahap tinggi boleh terus tinggal di rumah bersama keluarga mereka dan tidak di rumah jagaan warga emas.



Cik Siti Nabilah mengongsi bahawa neneknya menghadiri pusat itu dari sekitar 8.30 pagi hingga 6.30 petang.



“Antara khidmat jagaan yang disediakan di pusat itu ialah mereka akan bantu mandikan Nani.



Mereka juga sediakan makanan lembut kerana Nani ada masalah untuk telan makanan.



“Kakitangan pusat itu juga sentiasa memberi saya maklumat tentang apa yang Nani lakukan setiap hari, seperti kegiatannya, waktu dia makan, tidur, pergi ke tandas dan sebagainya,” kata beliau.



Selain khidmat jagaan di pusat itu, Cik Siti Nabilah juga telah mendapatkan khidmat jagaan jururawat di rumah menerusi Homage, iaitu sebuah khidmat jagaan kejururawatan di rumah, untuk membantu menjaga Cik Balkis selama tiga jam pada waktu malam dari Isnin hingga Jumaat.



Di samping itu, beliau juga mendaftar untuk meletakkan neneknya di bawah jagaan untuk masa singkat (respite care) pada hujung minggu di Pusat Jagaan Warga Emas St Luke’s di Marine Parade. Menurut Cik Siti Nabilah, beliau mendapat subsidi 80 peratus daripada Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) bagi kesemua khidmat jagaan untuk neneknya itu.



 



KINI ADA MASA BEREHAT



Dengan adanya jagaan tersebut, Cik Siti Nabilah berkata beliau rasa lega dan kini mempunyai lebih banyak masa untuk menjaga dirinya sendiri dan melakukan kegiatan lain.



Kini, lulusan diploma dalam jurusan undang-undang itu juga mempunyai masa di rumah untuk mencari pekerjaan dan melakukan tugas lain di rumah.



“Sebagai pemberi jagaan, kita kadang kala lupa untuk menjaga diri sendiri kerana terlalu fokus menjaga orang tersayang. Suami saya selalu mengingatkan saya untuk menjaga diri sendiri.



Sejak saya menjaga Nani seorang diri, saya tidak cukup tidur dan sentiasa berjaga-jaga kerana bimbangkan dia.



“Nasihat saya kepada penjaga lain di luar sana adalah untuk mendapatkan bantuan jika mereka rasa tertekan. Terdapat banyak agensi dan program sedia ada di mana anda boleh mendapatkan pertolongan.



“Sebagai penjaga, fokuslah pada apa yang anda dapat berikan. Anda harus memahami bahawa tidak ada penjaga yang sempurna tetapi kita semua berusaha untuk memberikan yang terbaik.



Carilah bantuan dan memanfaatkan sumber yang tersedia ada untuk penjaga,” kata beliau.



===================================================================



 



 



Penjaga kongsi ilmu dan kemahiran jaga orang tersayang 

 



MENJAGA orang tersayang dalam keluarga yang mempunyai masalah kesihatan mental bukan suatu perkara yang mudah.



Namun itulah yang dilakukan Cik Nur Hidayah Abidin sejak usia remaja, yang merupakan penjaga utama kepada abangnya yang mengalami gangguan bipolar.



Dalam usaha untuk memahami bagaimana menjaga abangnya dengan lebih baik dan cara menangani emosi dan tekanan sebagai seorang penjaga, Cik Hidayah telah menyertai Program Latihan Dari Penjaga-Untuk Penjaga (C2C) kendalian Caregivers Alliance Limited (CAL) pada 2015.



Kini, berbekalkan pengalamannya sebagai seorang penjaga dan juga ilmu yang diraih itu, wanita berusia 24 tahun itu giat memberi dorongan dan sokongan kepada penjaga yang lain pula menerusi tugasnya sebagai pakar sokongan penjaga di CAL.



“Saya mahu berbakti kembali kepada masyarakat. Pekerjaan di CAL ini adalah satu rahmat yang terselindung bagi saya,” kata beliau.



Mengimbas kembali, Cik Nur Hidayah menceritakan beliau mula menggalas peranan lebih besar dalam menjaga abangnya itu selepas selesai pengajian politeknik pada 2015.



Abangnya, yang kini berusia 27 tahun, didiagnos mengalami kelewatan pembangunan global (global developmental delay) semasa zaman kanak-kanaknya.



Di usia remaja pula, abang beliau dikesan mengalami gangguan bipolar.



Ibu beliau, seorang penduduk tetap (PR), tidak begitu fasih bertutur dalam bahasa Inggeris, dan sukar berkongsi dengan doktor tentang keprihatinan perubatan dan membincangkan rawatan alternatif bagi anaknya itu.



Keadaan bertambah baik selepas Cik Nur Hidayah mula menemani ibu dan abangnya ke pertemuan dengan doktor di hospital.



Cik Nur Hidayah dapat membantu ibunya menjelaskan kepada doktor tentang keadaan kesihatan mental abangnya itu dengan lebih baik, sekali gus membina hubungan lebih rapat dengan doktor.



Semasa satu pertemuan dengan doktor di Institut Kesihatan Mental (IMH), Cik Nur Hidayah dan ibunya telah dimaklumkan tentang program latihan C2C bagi para penjaga oleh kaunselor.



“Saya hadiri C2C bagi pihak ibu saya dan saya juga akan mengongsi maklumat yang saya pelajari dengan ibu selepas itu.



“Kemahiran yang diraih itu saya amalkannya di rumah bukan hanya untuk abang saya, malah untuk diri saya juga. Kita belajar untuk bersikap empatetik bukan hanya terhadap orang yang tersayang, namun terhadap diri kita sendiri juga sebagai penjaga,” kata mahasiswa jurusan sosiologi dan perhubungan di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) itu.



Kursus 12 minggu itu mengongsi maklumat tentang isu kesihatan mental seperti kemurungan dan skizofrenia, cara memperbaiki kemahiran dalam menyelesaikan masalah dan komunikasi, dan cara menangani tekanan dalam perjalanan pemulihan dengan orang tersayang.



Selepas selesai menjalani kursus itu, Cik Nur Hidayah menjadi seorang jurulatih sukarelawan bagi program itu untuk melatih dan menyokong penjaga lain.



Pada tahun lalu, beliau menyertai CAL sebagai pakar sokongan penjaga, dengan tugasnya termasuk mengendalikan pusat sokongan penjaga pertubuhan itu di Hospital Besar Ng Teng Fong dan Hospital Universiti Nasional (NUH).



Selain itu, beliau melaksanakan sesi C2C dan menyediakan Latihan dan Sokongan Individu (ITS) kepada penjaga di daerah yang mudah untuk mereka.



Berkat usaha gigihnya untuk belajar lebih mendalam cara menjaga orang tersayang yang mempunyai masalah kesihatan mental, keadaan abang Cik Nur Hidayah kini lebih baik dan beliau mampu hidup berdikari.



Abangnya suka bekerja dan malah, kini sedang menjalani latihan untuk bertugas sebagai penolong runcit.



“Dorongan utama bagi abang saya ialah pekerjaan dan dia mahu menjadi seorang individu yang holistik. Bukan hanya bekerja, malah dia mahu belajar juga.



“Dia ambil contoh dari saya dan pernah bilang ibu saya yang dia mahu menjadi seperti saya. Contohnya, dia menggunakan Kredit SkillsFuture dan buat kajian tentang kursus yang disokong kredit itu. Kini, dia sedang mengikuti kursus bahasa Jepun.



“Bagi ramai penjaga, harapan mereka adalah bagi orang tersayang untuk mempunyai pekerjaan yang mantap dan agar mereka komited kepada pekerjaan itu untuk masa yang lama,” kata beliau.



Cik Nur Hidayah bagaimanapun menegaskan bahawa sementara memberi dedikasi penuh dalam penjagaan orang tersayang, juga sama penting adalah kesihatan dan kesejahteraan si penjaga.



Menurutnya, penjaga juga perlu menjaga kesejahteraan jasmani, emosi dan mental mereka dan



sokongan ahli keluarga yang lain juga amat diperlukan.



Contohnya, Cik Nur Hidayah dan ibunya akan saling berganti menemani abangnya ke pertemuan doktor atau ke sesi kaunseling.



Beliau menambah bahawa penjaga juga tidak harus rasa takut untuk mendapatkan bantuan jika mereka memerlukan pertolongan.



“Apabila ada ahli keluarga kita yang didiagnos dengan masalah kesihatan mental, sudah tentu kita akan persoalkan kenapa.”



“Selain mendapatkan bantuan untuk orang tersayang, kita juga harus mendapatkan bantuan untuk diri sendiri dahulu kerana bimbingan dari segi pengetahuan dan juga emosi menentukan bagaimana kita bertindak balas dalam situasi krisis, dan cara menanganinya amat penting,” kata beliau.



--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------






Sokongan buat penjaga


 

Kesejahteraan penjaga



Penjaga boleh manfaatkan pelbagai sokongan termasuk:



- Pilihan penjagaan untuk masa singkat



- Latihan untuk penjaga lengkapi diri dengan ilmu dan kemahiran menjaga orang tersayang



- Kumpulan sokongan penjaga untuk sokongan emosi 



- Khidmat jagaan masyarakat (seperti jagaan siang hari di pusat jagaan warga emas) dan skim bantuan kewangan


 


  1. Penjagaan untuk masa singkat



 



Perkhidmatan ini disediakan di kedua-dua pusat jagaan dan rumah penjagaan, di mana penjaga boleh buat aturan jagaan untuk orang tersayang. Terdapat lebih 20 pusat di seluruh negara yang menyediakan penjagaan sementara, termasuk pada hujung minggu. Bagi mereka yang memerlukan penjagaan sepenuh masa dari 7 hingga 30 hari, mereka boleh memilih penjagaan sementara di lebih 40 rumah penjagaan.



 



Sejak April lalu, satu program pra-pendaftaran, Go Respite, telah dilancarkan untuk menyokong penjaga supaya dapat melengkapkan kerja-kerja pendaftaran terlebih dahulu. Mereka kemudian dapat memanfaatkan penjagaan sementara ini dalam tempoh satu hingga dua minggu apabila diperlukan.


 


  1. Latihan penjaga



Geran Latihan Penjaga (CTG) menyediakan geran tahunan sebanyak $200 yang boleh digunakan penjaga untuk menyertai kursus latihan. Terdapat lebih 200 kursus yang ditawarkan lebih 60 penyedia latihan.



 




  1.  Kumpulan sokongan penjaga



Penjaga boleh mendapatkan sokongan emosi daripada individu yang mempunyai pengalaman serupa dengan mereka.


 


  1.  Sokongan jagaan masyarakat lain



Pusat jagaan warga emas



- Penjaga boleh membuat aturan bagi orang tersayang dijaga di pusat jagaan warga emas



- Ia  program sepenuh hari bagi warga emas yang lemah atau mereka yang mempunyai demensia


 

Bantuan kewangan



- AIC juga mentadbirkan pelbagai skim bantuan kewangan


 

Anda boleh dapatkan maklumat lanjut tentang sokongan penjaga yang sedia ada menerusi AIC di wadah berikut:



Laman AIC:  www.aic.sg 



Talian AIC: 1800-650-6060



AIC Link yang terletak di hospital awam dan masyarakat, nod masyarakat dan pejabat AIC di Maxwell.


 



 



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >