Khutbah Hari Raya: Islam hargai semua bentuk budaya

SESEORANG boleh hidup sebagai Muslim yang baik dari segi pegangan dan pemahaman agama Islamnya di mana sahaja beliau berada.

Dalam pada itu, mereka juga dapat menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat setempat hingga kebaikan itu dapat dirasai dan kewujudannya dihargai oleh sesiapa sahaja yang berada di sekelilingnya.

Justeru, umat Islam di rantau ini tidak seharusnya berasa bahawa mereka tidak mampu menjadi seorang Muslim yang sempurna sekiranya mereka tidak meninggalkan adat resam budaya mereka, atau kerana mereka berada jauh daripada tanah suci Makkah dan Madinah.

Demikian ditekankan Mufti Negara Dr Mohamed Fatris Bakaram semasa menyampaikan Khutbah Aidilfitri bertajuk "Islam Menghormati Budaya Setempat" di Masjid Al-Mukminin pagi tadi (25 Jun).

Mufti turut menekankan bahawa agama Islam menghargai segala bentuk aspek budaya di dunia dan prinsip agama ini bertujuan untuk membolehkan seorang Muslim berasa yakin dengan keimanannya sendiri.

Lantas, mereka juga perlu berasa selesa untuk kekal dengan budayanya sendiri yang selari dengan nilai murni Islam.

"Kita menyaksikan cara menyambut hari raya yang berbeza daripada satu masyarakat Islam kepada masyarakat yang lain.

"Ia melambangkan ciri keanjalan Islam yang menjadikkannya mampu untuk kekal relevan di mana sahaja ia berada.

"Ia dapat memandu manusia dengan nilai-nilai murni tanpa perlu memaksa mereka mengabaikan mahupun menafikan kebiasaan adat resam serta budaya mereka," ucap Mufti di hadapan sekitar 3,500 jemaah yang hadir di masjid yang terletak di Jurong East itu.

Mufti menggesa rakyat Islam Singapura untuk menghargai adat dan budaya murni sedia ada yang telah kekal subur di dalam kehidupan kita dan agar tidak mudah terpengaruh dengan adat dan amalan yang asing dengan menyangkakan ia lebih Islamik daripada budaya mereka sendiri.

"Usah mudah terpesona dengan apa sahaja yang datang dari luar.

"Islam tidak bertambah kukuh dengan hanya sekadar berpakaian mengikut gaya orang lain atau berbicara mengikut lenggok bahasa orang lain.

"Yang akan memberikan kemuliaan kepada agama dan masyarakat kita ialah kefahaman, penghayatan, ilmu, kesungguhan, keperibadian, matlamat yang jelas, dan kesatuan. Inilah nilai-nilai yang seharusnya menjadi budaya dan identiti kita," tambah Mufti.

Dalam khutbah itu, Mufti turut mengingatkan dan menasihatkan umat Islam Singapura agar kekal berwaspada dengan ajaran yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar supaya tidak mudah terpesong sekali gus menjaga fabrik kehidupan aman di Singapura.

"Terdapat banyak individu yang gigih berusaha memesongkan pemahaman agama jauh dari nilai rahmah dan kebaikan yang dipancarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

"Tanpa pemahaman yang baik lagi sempurna, kita mungkin terpesong. Ada pula yang termakan dengan seruan untuk menyertai konflik, peperangan dan keganasan.

"Perbuatan sedemikian mencemarkan kemurnian agama kita. Ia merosakkan imej agama dan masyarakat dan mengelirukan umat manusia terhadap Islam.

"Segala kebaikan yang telah kita usahakan sebagai masyarakat Islam boleh sahaja terjejas dengan perbuatan mereka yang inginkan kekecohan dan keganasan.

"Oleh itu, marilah bersama-sama kita memainkan peranan menjaga kermurniaan serta memelihara kesucian agama kita," kata Mufti lagi.

Turut hadir menunaikan solat Aidilfitri bersama ialah Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Haji Mohd Alami Musa dan Ketua Eksekutif Muis, Haji Abdul Razak Maricar.

 

Muat turun khutbah hari raya: https://wetransfer.com/downloads/c1328e21461b281369dade43214b5e1e20170625052959/836cff84a309ab4abc662182a161f0c420170625052959/e76687